Berita

UMNO tak boleh ada dalam PH – PM Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak sebarang penyertaan dan kerjasama UMNO dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) ekoran desas-desus kencang ‘penghijrahan’ beramai-ramai pemimpin bersama (HARAPAN).

Tegasnya, keputusan itu dibuat memandangkan parti tersebut belum tentu ‘sah atau tidak’ ekoran isu pembatalan pendaftarannya.

“Parti UMNO tidak boleh ada dalam PH,” katanya kepada media.

Menurutnya, UMNO berdepan isu pembatalan jika siasatan dilakukan terhadap pendaftaran parti itu dan terserah kepada mahkamah untuk memutuskannya.

“Ia juga terserah kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menentukan status pendaftaran UMNO,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah menolak permohonan keahlian bekas Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata walaupun sebelum ini pihaknya meraikan penyertaan mana-mana pihak ke dalam HARAPAN, namun ia dibuat berdasarkan tapisan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri.

Tegas beliau yang juga Pengerusi HARAPAN Perak, permohonan itu ditolak tanpa rundingan berdasarkan prinsip bahawa setiap kemasukan sesiapa sahaja dalam Pakatan Harapan khususnya di Perak akan dibawa untuk pertimbangan tegas.

“Kita meraikan penyertaan mana-mana pihak akan tetapi tapisan kepada penyertaan ini sebaiknya dibuat dengan merujuk kepada

“Mereka yang ada kaitan dengan sejarah hitam tidak perlulah untuk diambil semula, kita tidak mahu sejarah 11 bulan (kerajaan Pakatan Rakyat) berulang lagi,” katanya kepada media. – Roketkini.com