Berita

DAP kecam pembunuhan rakyat Palestin oleh rejim Israel

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mengecam sekeras-kerasnya keganasan terbaru menjelang Ramadan melibatkan kematian 60 rakyat Palestin oleh tentera rejim Israel di Gaza.

“DAP menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menuntut keadilan dan kebebasan,” katanya dalam kenyataan.

Tindakan ganas regim Israel itu dilakukan akibat demonstrasi rakyat Palestin sepanjang sempadan Gaza-Israel ekoran keputusan Amerika Syarikat untuk memindahkan kedutaan besar dari Tel Aviv ke kota suci Baitulmuqaddis (Jerusalem).

Keganasan itu telah mencatatkan jumlah kematian tertinggi sejak tahun 2014 pada masa yang sama telah mengakibatkan 2,771 orang lain tercedera dengan 116 orang dalam keadaan kritikal.

“Pembunuhan 60 rakyat Palestin tidak bersenjata di jalur Gaza oleh rejim Israel hanya membuktikan sekali lagi Israel adalah pengganas yang tidak berperikemanusiaan.

“Itulah sebabnya Israel tidak ada kawan sebenarnya di dunia kerana tidak ada sesiapa nak bersama dengan pengganas,” katanya dalam kenyataan.

Guan Eng menegaskan, apa jua alasan yang diberikan tindakan tentera Israel menggunakan senjata api ke atas orang awam yang hanya mampu membalas dengan membaling batu adalah terkutuk dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Apa salahnya untuk mengadakan demonstrasi secara aman untuk menentang keputusan Amerika Syarikat dan Israel sehingga dibunuh dengan begitu zalim sekali?” soal Ahli Parlimen Bagan itu.

“Tiada seorang pun rakyat Israel yang cedera. Kehilangan nyawa rakyat Palestin begitu ramai tidak patut berlaku lebih-lebih lagi dalam menyambut bulan Ramadan yang suci ini.

Ketegangan terbaru ini katanya menjejaskan usaha untuk mencapai penyelesaian dua negara (two-state solution) serta hak rakyat Palestin untuk mewujudkan ibu kota yang dimiliki bersama di Baitulmuqaddis. – Roketkini.com