Berita

Kewangan negara dicabul, BN tinggal beban hutang RM1 trilion

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu melaksanakan langkah-langkah pemulihan dan penyelesaian menyeluruh bagi menyelesaikan beban hutang yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu sebanyak RM1 trilion.

Menurutnya, kewangan negara telah dicabul dengan begitu besar sehingga kerajaan berhadapan masalah untuk menyelesaikan jumlah hutang yang naik mendadak yang belum pernah dialami sebelum ini.

“Bagaimana kita hendak menyelesaikan hutang ini adalah bergantung kepada usaha dan daya fikir kita untuk menghadapi cabaran ini.

“Justeru, kita perlu ada kerjasama antara pihak yang menjadi kerajaan menerusi wakil rakyat yang dipilih dan anggota pentadbiran kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan amanat di warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

Keadaan buruk ini ujarnya tidak pernah berlaku sewaktu pentadbirannya dahulu dengan hanya RM300 bilion berbanding saat ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemisahan tiga institusi utama iaitu badan perundangan, eksekutif dan kehakiman adalah penting bagi mengelakkan penyelewengan. – Roketkini.com

Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia