Berita

Kerajaan HARAPAN martabatkan kepimpinan wanita – Kasthuri Patto

Pelantikan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) wanita pertama di Malaysia dijangka mampu mengukuhkan lagi kedudukan wanita dalam politik arus perdana negara ini kata Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto.

Menurutnya, kedudukan tinggi wanita dalam pentadbiran kerajaan akan membolehkan isu-isu wanita yang seolah-olah diabaikan kerajaan terdahulu didengari dan diselesaikan dengan menyeluruh.

“Ini adalah perkembangan yang amat positif kepada wanita seluruh negara.

“Dengan adanya representasi wanita dalam jawatan pembuat keputusan bukan sahaja akan membantu mengetengahkan isu wanita tetapi juga isu-isu melibatkan keadilan sosial.

“Pelantikan wanita sebagai TPM oleh Kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah berlaku sepanjang lebih 60 tahun BN memerintah.

“Perkembangan ini jauh berbeza semasa pentadbiran BN yang dilihat mengambil mudah peranan, kebolehan dan kepimpinan wanita,” katanya kepada Roketkini.

Ditanya mengenai desakan kumpulan masyarakat sivik yang menuntut 30 peratus kuota wanita dalam kabinet kerajaan baru, Kasthuri meletakkan keyakinan bahawa usaha ke arah itu akan lebih baik.

“Buat masa ini kita dapat lihat sekurang-kurangnya ada menteri wanita yang bukan sahaja memegang portfolio wanita tetapi juga kementerian pembangunan kerajaan tempatan dan pembangunan luar bandar.

“Secara keseluruhan, lebih banyak perwakilan wanita di parlimen dan peringkat pembuat keputusan bermakna akan menggalakkan perkembangan perspektif baru dalam soal hak asasi manusia dan gender,” katanya lagi. – Roketkini.com