Rencana

Apa sebenarnya erti PRU 14

Bagaimanakah cara terbaik untuk mengungkapkan erti pilihanraya umum ke-14? Jawapannya: Tiada.

Setelah hampir 20 tahun jika dihitung dari tahun 1998 sehinggalah pada malam 9 Mei 2018 – 20 tahun kemudian – ketika Tun Mahathir memberi kenyataan media pertamanya meyakini Pakatan Harapan telah mencapai majoriti mudah 112 kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan di Persekutuan, saat itu saya masih sukar mempercayai apa yang berlaku di depan mata.

Selepas detik itu, Malaysia telah berubah menjadi sesuatu yang berbeza. Rakyat di semua peringkat dan dari pelbagai latarbelakang secara terbuka berkongsi kegembiraan menyokong Pakatan Harapan. Malaysia seperti baru dilahirkan semula.

Tiada perkataan yang tepat menggambarkan perasaan melihat sendiri bagaimana Barisan Nasional ditumbangkan. Malah menyaksikan Tun Mahathir keluar UMNO, menubuhkan PPBM, mengetuai Pakatan Harapan, menang dan menjadi Perdana Menteri, adalah peristiwa yang sangat mengkagumkan dan mustahil untuk ditulis dalam satu siri rencana.

Liew Chin Tong

Dalam PRU kali ini, saya telah berkampung di Ayer Hitam, Johor selama 10 hari. Mendepani pengundi-pengundi Melayu dalam cubaan memasarkan calon Pakatan Harapan Sdr Liew Chin Tong. Beliau bertanding melawan Timbalan Presiden MCA – Dato Seri Wee Kah Siong.

Ya,  tidak saya nafikan, parlimen Ayer  Hitam bukanlah pertandingan yang mudah. Namun, bahang gelombang rakyat yang dahagakan pembaharuan dan apa yang disebut oleh sdr Liew Chin Tong sendiri sebagai ‘tsunami Melayu’ begitu terasa sehingga ke hujung-hujung kampung ataupun disebut sebagai parit-parit.

Johor memang diyakini oleh beliau sejak awal lagi sebagai sebuah negeri yang berpotensi untuk Pakatan Harapan tawan.

Tidak keterlaluan untuk saya percaya yang pengundi-pengundi Ayer Hitam telah  berani untuk perubahan. Malah saya berkeyakinan penuh, Sdr Liew Chin Tong akan memenangi parlimen Ayer  Hitam dengan mudah pada PRU15 yang akan datang.

Biarpun tewas dengan majoriti tipis, namun beliaulah jeneral perang yang berjaya mengemudi Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional di Johor. Keyakinan beliau yang Pakatan Harapan akan memenangi Putrajaya diukur daripada keupayaan PH menawan Johor. Johor menang, menanglah PH di Putrajaya. Ternyata, lapan belas (18) kerusi parlimen yang disumbangkan dari Johor telah membantu PH membentuk kerajaan di Persekutuan.

Mengundi di Kedah

Seusai saya di Johor, saya pulang ke Kedah untuk mengundi. Sepanjang saya berada di Kedah, saya telah menyaksikan perubahan sikap yang sangat ketara terutamanya dikalangan orang Melayu.

Mereka secara terbuka memberi ikrar untuk melakukan perubahan. Ada antara mereka yang saya temui adalah pemimpin-pemimpin UMNO tempatan dan ada yang menjadi pengundi tegar BN selama hampir beberapa dekad. Melawan UMNO dan menyokong Pakatan Harapan tidak lagi dilihat sukar buat mereka.

Mereka ini bukan sahaja kecewa dengan prestasi Dato Seri Najib sebagai Presiden UMNO, malah yang paling mengecewakan mereka ialah kegagalan Dato Najib sebagai Perdana Menteri. Mereka menganggap ucapan Dato Seri Najib pada malam sebelum mengundi adalah ucapan yang mahu memperbodohkan mereka semata-mata.

Gula-gula yang ditabur pada malam tersebut langsung tidak mengugat iman politik dan pendirian mereka. Malah, bagi mereka ucapan Tun Mahathir lebih meyakinkan, ada keikhlasan dan dilihat lebih patriotik.

Sokongan yang mengharukan

Mereka ini tidak perlu dikhutbahkan mengenai kesan pengenalan cukai GST atau isu penarikan subsidi minyak masak, gula dan subsidi petrol. Menjelang malam sebelum hari mengundi, mereka yang saya temui telah bulat tekad untuk mengundi Pakatan Harapan. Ikrar dan keterujaan mereka pada mana-mana pertemuan samada di kedai-kedai kopi, di pasar-pasar atau pun stesen minyak; kadang-kadang sangat mengharukan.

Mereka telah nampak dengan jelas. Mengubah kerajaan negeri dan persekutuan telah menjadi tanggungjawab terbesar mereka dalam PRU ini. Mereka yang terpanggil melakukan perubahan ini bukan sekadar mahu mengubah kepimpinan negara, atau sekadar mendapat ahli dewan negeri atau ahli parlimen yang baru. Kesungguhan mereka jauh melangkaui semua itu.

Mereka terpanggil atas desakan hidup sehari-hari. Mereka terbeban dengan segala polisi mengarut yang dibuat Barisan Nasional pimpinan Dato Seri Najib. Kesan bebanan itu dirasai mereka sendiri dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ianya seperti sudah tidak tertanggung lagi.

Buat pertama kalinya, gabungan parti-parti pembangkang – Pakatan Harapan – benar-benar dilihat boleh memberi jalan keluar untuk semua ini. Mereka percaya Pakatan Harapan adalah nafas baru yang boleh memperbaiki diri mereka, keluarga mereka dan juga Malaysia secara keseluruhannya. Tekanan hidup dan harapan yang tinggi melonjak keberanian mereka ke peringkat yang kita lihat hari ini.

Mengurus kemenangan

Kemenangan yang dipeluk hari ini bukanlah milik mereka yang memenangi kerusi-kerusi parlimen mahupun kerusi-kerusi dewan undangan negeri. Ia adalah milik rakyat Malaysia. Kemenangan ini adalah harapan besar rakyat Malaysia kepada Pakatan Harapan. Mensia-siakan kemenangan ini adalah mensia-siakan mereka yang bersusah payah pulang mengundi, berkorban harga tiket yang berganda, menempuhi kesesakan jalan raya yang memenatkan, berkorban masa dan wang ringgit untuk turut sama-sama berkempen tanpa meminta balasan.

Menjelang keputusan PRU pada malam 9 Mei, terasa semacam sukar untuk Pakatan Harapan menang selepas berpuluh dekad melawan dan melawan. Ditambah dengan peratusan keluar mengundi yang rendah pada permulaan hari, hari mengundi di pertengahan minggu dan kegagalan SPR mengurus pengundi-pengundi pos dari luar negara menyulitkan jalan kemenangan.

Ternyata doa rakyat yang tertindas makbul juga. Kemenangan yang dikurniakan Tuhan bukanlah dengan jalan pintas. Ianya diselimut dengan jatuh bangun, pengorbanan tenaga, masa, harta benda dan airmata.

Namun, kemenangan ini bukanlah habuan, ia adalah amanah yang maha berat yang sering ditolak oleh ramai orang yang takutkan saat berdepan hari perhitungan depan Tuhan nanti. Ia menjadi lebih berat semakin hari.

Saat ini, yang jauh lebih sukar adalah untuk kita mengurus kemenangan ini. Jangan kita lari dari harapan yang telah diberi oleh rakyat. Jangan kita terbabas dari landasan yang dicita oleh rakyat. Harapan mereka tidak ada harga yang boleh diperdagangkan. Jangan kita culas walau sejengkal, jika tidak, Pakatan Harapan akan menerima nasib yang sama seperti Barisan Nasional pada malam 9 Mei yang lalu.

#KitaSudahMenang – Roketkini.com