Wawancara

Di sebalik tewasnya Liew Chin Tong (Bahagian 1)

Kerusi Parlimen Ayer Hitam memang merupakan suatu perlawanan yang sukar. Seawal 18 Januari 2018, Liew Chin Tong sudah pun membuat keputusan untuk bertanding di kerusi sukar itu, dengan penuh kesedaran.

“Saya masih ingat. Saya beritahu jawatankuasa DAP negeri Johor bahawa orang lain semua akan menang. Tapi saya mungkin kalah,” katanya dengan senyum.

Inilah orangnya yang seawal 2015 telah menyebut bahawa Tun Dr Mahathir harus diberikan ‘center stage’ untuk memimpin gabungan parti-parti pembangkang. Malah ketika perhimpunan Bersih 4 pun sudah menegur keputusan pertubuhan tersebut menidakkan peluang Mahathir untuk berucap.

“Bagi saya mudah sahaja. Kalau saya menang di Kluang, tetapi Najib masih Perdana Menteri; baik tak payah,” tegasnya.

Saya menyelit masuk ke pejabat Chin Tong di ibu pejabat DAP, ketika keadaan masih lagi terawang-awang. Menteri-menteri belum angkat sumpah. Euphoria kemenangan masih lagi membuat ramai orang mencubit lengan setiap kali bangun tidur.

Strategis DAP ini ternyata tidak sedikit pun menyesal dengan keputusannya untuk berpindah dari kerusi ‘gerenti’ menang di Kluang, untuk memulakan kempen menawan Johor dari Ayer Hitam.

“Jika saya tidak menang di Ayer Hitam, tetapi saya membantu membina gelombang agar kita boleh menang; itu lebih baik,” ujarnya.

Ramalan Zhuge Liang DAP ini ternyata benar. Bahkan saya sendiri pun tidak percaya sebenarnya gelombang ‘tsunami Melayu’ yang disebut-sebutnya itu akan membadai dan membawa Pakatan Harapan ke Putrajaya.

Saya katakan padanya berkali-kali tentang gelombang Melayu yang tidak menentu itu. Bahawa memang ada kemungkinan gelombang itu memberi kelebihan kepada PAS. Dan itu juga sebenarnya terjadi.

PAS berjaya mendapatkan kembali Terengganu, selain memperkukuh kedudukannya di Kelantan. Meski pun parti Hadi Awang itu kalah di 141 kerusi di peringkat Parlimen daripada 159 kerusi yang ditandinginya.

Tetapi Chin Tong memang sejak dahulu menyebut bahawa gelombang ini akan membadai negeri-negeri pantai Barat, dari Perlis sampai ke Selat Tebrau. Dan gelombang itu nampaknya jauh lebih besar daripada ‘swing’ 15% yang diramal olehnya.

Menjelaskan teori ‘tsunami Melayu’ tersebut, kata Chin Tong ia hadir dalam beberapa tingkat. Pertamanya akibat vakum kepimpinan Melayu.

Apa yang Najib tidak jangka

“Mac 2015, skandal 1MDB meletup. Julai kemudiannya, cerita tentang derma RM2.6 bilion muncul. Pada ketika itu pun, sudah wujud vakum kepimpinan. Orang Melayu betul-betul menyampah dengan Najib dan Rosmah.

“Tetapi masalahnya, tidak ada alternatif. Sokongan Melayu terhadap BN merudum, tetapi tidak ada pilihan lain,” jelasnya lagi.

Tingkat kedua tsunami ini ialah persahabatan UMNO dan PAS. Parti Islam itu berpecah apabila Hadi Awang mula menghampiri Najib Razak.

“Pada ketika itu, orang Melayu sudah mula rasa terganggu. Kenapa PAS menghampiri Najib di saat Najib berada di keadaan paling teruk? Maka orang Melayu tidak tahu mahu ke mana. Tidak ada pemimpin.

“Dan ini ditambah dengan faktor tekanan ekonomi. Gabungan faktor-faktor inilah yang saya jangkakan akan berubah menjadi gelombang tsunami,” kata Chin Tong.

Gelombang ini ternyata berlaku di beberapa kelompok kerusi di kawasan-kawasan semi-urban. Kelompok Selatan Kedah, Perak Utara dan Pulau Pinang; kelompok Perak Selatan dan Utara Selangor; kelompok Pahang Barat; serta kelompok kerusi-kerusi di Utara dan Selatan Johor semuanya berombak menuju perubahan.

Johor juga ternyata berjaya memberikan bukan sahaja 10 kerusi seperti yang dijangkakan olehnya, bahkan ia memberikan 13 kerusi dan membentuk kerajaan negeri.

Pecahnya UMNO dan PAS pada ketika yang hampir sama juga menyumbang besar kepada gelombang ini.

“Dulu bila orang marahkan UMNO, mereka undi PAS. Tetapi di negeri-negeri Pantai Barat, mereka tahu bahawa PAS sudah tidak berada dalam gelombang perubahan. Mereka tahu bahawa mengundi PAS adalah sama sahaja seperti mengundi Najib. Jadi ke mana mereka mahu pergi?”

“Najib merasakan apabila dia telah memenjarakan Anwar dan berjaya mengikat PAS, parti-parti pembangkang tidak lagi ada pemimpin dan akar umbinya sudah tidak tersusun.

“Tetapi apa yang tidak dijangkanya ialah kebangkitan semula Mahathir. Najib juga tidak menjangkakan Mahathir dan Anwar boleh berdamai. Dia juga tidak pernah membayangkan bahawa DAP dan Mahathir boleh duduk semeja.”

Pada tahun 2017, semua faktor ini berubah. Parti Pribumi Bersatu Malaysia ditubuhkan, dan kemudiannya menyertai Pakatan Harapan. Pengerusi PPBM, Dr Mahathir kemudiannya diumumkan sebagai calon perdana menteri, Dr Wan Azizah sebagai timbalannya.

“Ini merubah permainan di mana DAP dijadikan sasaran.

“Kita bertemu dengan anasir-anasir BTN yang memberitahu kita bagaimana mereka langsung tidak ada modal untuk mempertahankan Najib. Beliau enggan bercakap tentang skandal 1MDB, dan tidak mampu menangani isu kos sara hidup. Modal yang mereka ada hanyalah untuk menyerang DAP.

“Apabila Mahathir dilantik pengerusi HARAPAN dan dijadikan calon perdana menteri, mereka hilang punca. Semuanya berubah,” ujarnya. – Roketkini.com

Bersambung…