Berita

Isu tanah pertanian, alam sekitar perlu diselesaikan di Cameron Highlands

Kementerian Pertanian hari ini diminta supaya memberi perhatian khusus terhadap masalah pertanian dan alam sekitar yang berlaku di Cameron Highlands.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong berkata, perancangan guna tanah yang teruk di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sejak kemerdekaan telah memberi pelbagai kesan buruk kepada pekebun dan alam sekitar di Cameron Highlands.

Menurutnya, pemberian lesen guna tanah sementara (LPS) yang mempunyai banyak sekatan telah menjadi sebab berlakunya amalan aktiviti pertanian yang tidak mampan dan mendatangkan pelbagai kesan buruk untuk alam sekitar.

“Kebanyakan pekebun di Cameron Highlands diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) untuk mengusahakan aktiviti pertanian.

“Di samping itu, pekebun-pekebun di Cameron Highlands juga tidak diberikan bantuan oleh pihak kerajaan dalam sebarang aspek seperti pemberian insentif untuk baja, racun serangga, bekalan air, benih tanaman, bantuan teknikal dan urus-tadbir yang efektif,” katanya dalam surat terbuka kepada Menteri Pertanian, Sallahudin Ayub hari ini.

Beliau mencadangkan agar satu pengurusan dan pembangunan pertanian yang mampan dan inklusif perlu dirancang untuk pekebun-pekebun di Cameron Highlands.

Ini termasuk rancangan penyusunan semula dan pemberian tanah pertanian, pengurusan bekalan air pengairan yang mampan untuk pertanian, sistem pertanian secara sistematik, kemudahan asas dan insentif untuk pekerja-pekerja pertanian, pengambilan pekerja asing, amalan baik pertanian, pensijilan kualiti pertanian dan urus-tadbir guna tanah yang efektif.

“Memandangkan Cameron Highlands merupakan penyumbang besar kepada ekonomi negara dari segi pertanian, saya bercadang bahawa perlu adanya seorang pakar yang amat memahami keadaan pertanian di Cameron Highlands dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara yang akan ditubuhkan pada hari Isnin,” katanya.

Cameron Highlands yang terletak di Banjaran Titiwangsa telah digunakan sebagai kawasan penanaman teh sejak zaman British, sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan secara kecil-kecilan sebelum tahun 1960-an.

Kebanyakan tanaman di Cameron Highlands adalah untuk pasaran tempatan dan sebahagiannya lagi untuk pasaran eksport seperti ke Singapura, Jepun, Thailand, Korea Selatan Hong Kong, Taiwan dan sebagainya. – Roketkini.com