Berita

Kerajaan akan pastikan tidak wujud monopoli sektor pengangkutan – Anthony Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan tidak wujud monopoli dalam sektor pengangkutan termasuk perkhidmatan e-hailing.

Jelasnya, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menjalankan kajian menyeluruh mengenai perkhidmatan tersebut dan mengemukakan cadangan dalam tempoh sebulan menjelang Julai ini.

“Bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing, saya telah minta SPAD beri laporan lengkap beserta cadangan-cadangan mengenai perkhidmatan ini.

“Kami tidak akan benarkan berlakunya monopoli oleh mana-mana syarikat, termasuk e-hailing. Jadi, apa yang kita mahukan ialah menjaga kepentingan orang ramai.

“Saya berjanji satu keputusan dasar akan ditetapkan dan pengumuman itu akan kita buat menjelang Julai hadapan,” kata Anthony pada sidang media di Ibu Pejabat SPAD petang tadi.

Berhubung pembubaran SPAD yang diumumkan sebelum ini, Loke sekali lagi menyatakan bahawa kakitangan SPAD akan diserapkan di bawah kementeriannya.

“Namun, fungsi-fungsi SPAD (buat masa ini) masih berjalan seperti biasa dari segi kajian dasar, penguatkuasaan dan pelesenan.

“Sekarang, kita sedang mengkaji beberapa pilihan untuk menyerahkan peranan SPAD dalam Kemeterian Pengangkutan,” katanya.

Menurutnya, daripada 997 kakitangan, 327 daripadanya merupakan kakitangan penguatkuasaan.

“Apa-apa pindaan akan dibawa ke sidang Parlimen pertama nanti,” katanya lagi. – Roketkini.com