Berita

Kerajaan teruskan projek RTS, bas percuma GOKL

Meskipun melibatkan kos sebanyak RM4 bilion, kerajaan akan meneruskan projek Sistem Transit Rapid (RTS) melibatkan jajaran Bukit Cagar, Johor ke Woodland, Singapura. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, projek itu diteruskan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor.

“Kita akan teruskan, namun mekanisme pembinaan dikaji semula bagi mempercepatkan prosesnya, malah Malaysia mempunyai kerjasama antara Prasarana Malaysia Bhd dengan Transit Aliran Massa Singapura (SMRT).

“Perjanjian kerjasama strategik Prasarana-SMRT sepatutnya ditandatangani pada 30 Jun, namun kita akan meminta ia dilanjutkan bagi memberi ruang pelaksanaan kajian berkaitan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPAD hari ini.

Selain itu, Loke memaklumkan bahawa perkhidmatan bas percuma GO-KL yang telah diperkenalkan kepada warga kota sejak tahun 2012 akan diteruskan buat masa ini walaupun memberi implikasi kewangan sebanyak RM12 juta setahun.

“SPAD cadangkan supaya perkhidmatan GO-KL diteruskan.

“Saya akan bawa ke kabinet sama ada untuk teruskan atau tidak dengan melihat kepada implikasi kewangan.

“Buat masa ini, khidmat GO-KL berjalan seperti biasa,” katanya lagi.

Menurutnya, GO-KL telah memberi perkhidmatan kepada kira-kira 70,000 pengguna dengan statistik 60% oleh rakyat tempatan manakala selebihnya pula pekerja dan pelancong asing. – Roketkini.com