Berita

Pelan Integriti Nasional untuk Malaysia baharu, pulih indeks persepsi rasuah

Sebuah pelan integriti nasional perlu digubal bagi memulihkan Malaysia daripada ‘negara kleptokrasi global’ kepada negara yang berintegriti dalam tempoh 10 tahun cadang tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya pelaksanaan cadangan tersebut bertujuan untuk memastikan kedudukan prestasi Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bertambah baik bagi tahun-tahun akan datang.

“Di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN), negara terjebak dalam pelbagai skandal rasuah dan salah guna kuasa.

“Pada tahun 2017,  CPI Malaysia berada di kedudukan terburuknya dalam tempoh 23 tahun, jatuh ke tangga 62 daripada 180 negara,” katanya dalam kenyataan.

Keadaan itu ujarnya merupakan antara faktor menyebabkan BN yang telah memerintah sejak 61 tahun akhirnya tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bagi mencapai hasrat untuk mewujudkan pelan tersebut, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata ia perlu bentang, dibahaskan dan diterima pakai oleh Parlimen.

Beliau pada masa yang sama menambah, bagi memperbaiki kedudukan negara, skandal 1MDB dan skandal-skandal rasuah yang lain haruslah disiasat.

“Yang terpenting, kita mesti memperkenalkan pembaharuan struktur dan institusi serta perubahan minda dalam seluruh masyarakat supaya kita mempunyai toleransi sifar terhadap rasuah,” katanya lagi. –Roketkini.com