Berita

Dasar tender terbuka tak pinggir kontraktor bumiputera – Lim Guan Eng

Kekeliruan dan kegusaran sesetengah pihak terhadap cadangan pelaksanaan dasar tender terbuka yang kononnya akan menyebabkan peminggiran kontraktor bumiputera terjawab.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan, pelaksanaan dasar tender terbuka untuk projek peringkat persekutuan dan negeri tidak sama sekali akan meminggirkan kontraktor bumiputera.

“Apabila kita sebut mengenai tender terbuka, yang kita maksudkan ialah ianya terbuka dalam kalangan kontraktor Bumiputera kelas F sahaja, bukanlah secara terbuka (kepada kaum-kaum lain) seperti yang dianggap oleh pihak-pihak tertentu.

“Konsep ini kita telah laksanakan di Pulau Pinang, dan saya rasa hasilnya adalah lebih baik (berbanding tender tertutup), kerana kita dapat memastikan bahawa setiap kontrak diberikan secara kompetitif,” katanya dalam program Bicara Khas terbitan RTM1 di Kuala Lumpur, malam semalam.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, sewaktu beliau menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, lebih 90 peratus projek kerajaan negeri dimenangi oleh kontraktor Bumiputera sekaligus membuktikan bahawa kontraktor bumiputera mempunyai daya saing yang baik.

“Janganlah pandang rendah kemampuan kontraktor Bumiputera. Di Pulau Pinang, mereka telah membuktikan kesanggupan dan kebolehan mereka (untuk bersaing),” katanya.

Kerajaan juga katanya akan terus memberikan penekanan terhadap golongan wanita, peneroka Felda dan projek infrastruktur, khususnya yang berkaitan infrastruktur asas yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita nak buat demi rakyat, untuk rakyat, bukan untuk kroni-kroni tertentu. Supaya rakyat boleh rasa, selepas lima tahun, adakah kehidupan mereka lebih baik berbanding sekarang,” katanya. – Roketkini.com

Kredit foto: Kementerian Kewangan Malaysia