Berita

Masa sesuai dedah butiran lengkap nahas pesawat Double Six 1976 – Jimmy Wong

Sudah tiba masanya laporan penuh tragedi Doube Six pada 1976 yang telah mengorbankan Ketua Menteri Sabah Tun Fuad Stephens dan beberapa pemimpin ketika itu didedahkan kepada orang awam kata Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Jimmy Wong Sze Phin.

Menurutnya, ramai rakyat Sabah ingin mengetahui punca sebenar nahas udara yang berlaku 42 tahun lampau berlaku di mana Stephen ketika itu baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

“Sama ada punca kemalangan kononnya kerana terlebih berat, sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak, masih menimbulkan keraguan. Rakyat sukar percaya.

“Jadi saya harap Ketua Menteri kita yang baru akan melihat perkara ini. Sudah 42 tahun (menjadi tanda tanya) dan ini masanya kebenaran didedahkan kepada rakyat,” katanya yang juga Penasihat DAP Sabah lapor Free Malaysia Today.

Jimmy, bersama pemimpin-pemimpin Sabah menghadiri upacara tahunan peringatan tragedi Double Six di Sembulan hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri acara tahunan peringatan di memorial Double Six dekat sembulan hari ini.

Berdasarkan saksi mata yang dilaporkan media ketika itu, pesawat Nomad tersebut terhenti di udara sebelum menjunam kira-kira 600 kaki ke permukaan laut yang cetek.

Pada masa yang sama, pesawat tersebut tidak dilengkapi dengan kotak hitam yang berperanan merakam komunikasi antara juruterbang dengan kawalan lalu lintas udara dan untuk mengetahui tekanan udara dan keadaan cuaca dalam tempoh penerbangan.

Jimmy berkata, selain dari rakyat, kerajaan juga harus sensitive dengan perasaan ahli keluarga mangsa terlibat yang sejak sekian lama menunggu hasil siasatan.

Keputusan siasatan nahas yang diumumkan pada bulan Jun, 22 tahun selepas kejadian akibat kesilapan juruterbang terus menimbulkan tanda tanya dan keraguan memandangkan terdapat butiran yang tidak didedahkan dan diklasifikasikan sebagai rahsia.

Selain Jimmy, hadir sama dalam majlis peringatan ini ialah wakil-wakil rakyat DAP Sabah iaitu Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Adun Likas, Tan Lee Fatt, Adun Luyang, Phoong jin Zhe dan Adun Kapayan, Jannie Lasimbang. Turut serta ialah wakil rakyat dan pimpinan parti daripada Parti Warisan Sabah dan ramai lagi.– Roketkini.com