Berita

Warga pendidik, pelajar sekolah tidak ketinggalan menyumbang Tabung Harapan

Inisiatif kolektif warga pendidik dan pelajar Sekolah Menengah San Min Suwa yang memberikan sumbangan sebanyak RM7,328 wajar kepada Tabung Harapan Malaysia wajar menjadi contoh dan harus dipuji.

Menurut Guru Besar, Foo Win Meng, pihaknya melancarkan kutipan derma tersebut demi menunjukkan kecintaan dan semangat patriotik kepada negara.

“Pelajar-pelajar dan guru tidak mahu ketinggalan dan mahu bersama-sama membantu negara. Pihak kami telah melancarkan kutipan derma ini secara bersepadu dengan sikap patriotisme kepada negara,” kata beliau.

Sumbangan tersebut kemudiannya diserahkan kepada wakil kerajaan, Adun Pasir Berdamar Terrence Naidu dalam sebuah majlis penyerahan cek yang diadakan di dewan sekolah berkenaan.

Menurutnya, maklumbalas rakyat Malaysia terhadap Tabung Harapan berjaya menggerakkan inisiatif pelbagai pihak sebagai satu tanda kecintaan rakyat kepada negara.

“Kempen ini samadengan kempen menderma emas yang di lakukan oleh rakyat Korea selatan dalam tahun 1998 selepas Korea selatan dilanda krisis ekonomi dan terpaksa meminjam 58 billion dolar dari IMF.

“Rakyat Korea Selatan telah mengumpul emas untuk membayar hutang negara dengan mengutip US$2.2 billion seterusnya berjaya melangsaikan hutang mereka dengan IMF dalam tahun 2011 iaitu tiga tahun lebih awal,” ujar beliau.

Terrence berkata, semangat cintakan negara yang ditunjukkan oleh pelajar dan warga pendidik sekolah ini memberi kemungkinan Malaysia juga berupaya mengikut jejak langkah rakyat Korea Selatan mengurus dan menangani hutang piutang negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Saya juga akan bersama-sama membantu negera dengan menyumbang RM5,000 gaji pertama saya kepada Tabung Harapan Malaysia pada hari ini.

“Saya percaya Sekolah Menengah San Min Suwa ini merupakan sekolah pertama yang membuat sumbangan kolektif kepada tabung harapan negara,” katanya lagi. – Roketkini.com