Berita

Kit siang harap pembangkang kuat, jadi agen semak imbang kerajaan

Pembangkang negara ini perlu kuat menjalankan fungsi semak imbang bagi memastikan wujudnya pendemokrasian yang tidak hanya tertumpu kepada parti pemerintah kata tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya, asas penting untuk menjadi pembangkang yang kuat adalah terus belajar daripada setiap kekalahan dan kelemahan.

“Macam sekarang saya tidak mahu MCA atau BN mati, saya harap mereka boleh bergiat supaya demokrasi boleh lahir.

“Demokrasi perlu semak dan imbang yang mana bukan sahaja kita perlu ada mekanisma dalam parti-parti yang memerintah, tapi kita perlukan satu pembangkang yang kuat dan sihat, ada media dan masyarakat sivil yang boleh bersuara.

“Saya rasa kita semua bukan sahaja DAP, semua parti (Pakatan Harapan), semua pemimpin politik termasuk Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar, Mohamad Sabu kami semua belajar.

“Kita perlu lebih sensitif, waras dan sesuatu yang kita katakan proses pembelajaran yang mana ia lebih untuk Malaysia.”

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata demikian dalam temu bual eksklusif ‘100 Hari Malaysia Baharu’ lapor portal Astro AWANI.

Di sebalik realiti yang perlu dihadapi pembangkang saat ini, apa yang menyedihkan pemimpin-pemimpin parti yang kalah seolah-olah tidak mahu belajar lebih-lebih lagi apabila pelbagai tohmahan terus dilemparkan.

“Ada propaganda yang kata bahawa kita (DAP) orang jahat. Saya didakwa sebagai hantu, iblis dan lain-lain lagi.

“Saya rasa tak pernah buat tuduhan pemimpin UMNO sebagai anti-Cina atau anti kepada agama-agama lain, tetapi saya dituduh sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Itu silap,” katanya lagi.

Wawancara bersama Awani itu akan ke udara pada jam 9.30 malam ini. – Roketkini.com