Berita

Tidak sedikitpun pembangunan agama Islam di Pulau Pinang terjejas

Di Pulau Pinang, usaha Kerajaan Negeri Pakatan Harapan selama 10 tahun sejak 2008 dalam memartabatkan agama Islam adalah terbukti.

Hal ini, menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, apabila tidak sedikitpun pembangunan agama Islam di negeri Pulau Pinang terjejas.

Sebaliknya, diperbanyakkan lagi peruntukan bagi Hal Ehwal Agama Islam untuk kemajuan dan pembangunan ia di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Jawatankuasa Kariah Masjid Kapitan Keling dekat sini sebentar tadi.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong turut memuji usaha berterusan dilakukan pimpinan Muslim di negeri ini.

“Ini termasuk pimpinan Kariah Masjid Kapitan Keling yang berterusan menjaga kebajikan bukan sahaja orang Islam, malah bukan Islam di kawasan ini.

“Syabas dan tahniah juga kerana sudah melebihi 100 tahun (Jawatankuasa Kariah) berjaya menyatukan umat Islam di bawah payung Masjid Kapitan Keling.

“Selain daripada melakukan kerja-kerja kebajikan, peluang latihan serta kerjaya turut disalurkan kepada umum supaya pegangan hidup dapat berpandukan ajaran Islam yang murni,” ujarnya.

Berhubung isu solat Jumaat antara Masjid Kapitan Keling dan Masjid Melayu Lebuh Acheh sebagaimana dibangkitkan Pengerusi Jawatankuasa Qariah Masjid Kapitan Keling, Datuk Meera Mydin Mastan, Kon Yeow menyatakan bahawa ia bukanlah isu baru.

“Malah, adalah menjadi hasrat jemaah serta Kariah di masjid ini supaya kedua-duanya dapat menganjurkan solat Jumaat.

“Saya percaya ada wakil daripada Majlis Agama Islam yang hadir pada hari ini untuk ambil maklum, dan saya juga akan bangkitkan isu ini dalam Mesyuarat Exco nanti serta kemukakan juga kepada Timbalan Ketua Menteri I yang memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam di negeri ini untuk tindakan selanjutnya.

“Mudah-mudahan di bulan yang mulia ini, permintaan tersebut dapat diberikan untuk suatu keputusan sama ada ya atau tidak agar ia tidak berlanjutan lama,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Kota itu.

Begitu juga isu ‘Gold Plaza’ yang dikatakan menghalang laluan pejalan kaki, Kon Yeow percaya bahawa Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Think City boleh menelitinya demi kepentingan semua pihak.

Dalam majlis sama, Jawatankuasa Kariah Masjid Kapitan Keling turut meraikan anak-anak yatim daripada Pertubuhan Rumah Kebajikan Seri Cahaya Pulau Pinang.

Juga, menyerahkan cek berjumlah RM7,472 bagi Tabung Harapan Malaysia yang disumbangkan oleh jemaah Masjid Kapitan Keling dan orang perseorangan.

Datuk Bandar bagi MBPP, Ar. Yew Tung Seang; Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed serta wakil-wakil daripada Lembaga Wakaf Negeri Pulau Pinang; Liga Muslim Pulau Pinang; Persatuan Tanjong Pulau Pinang; Dewan Perniagaan dan Perindustrian Negeri Pulau Pinang serta lain-lain pimpinan Muslim di kawasan Tanjong antara tetamu jemputan yang turut hadir mengimarahkan majlis tersebut.

Video : https://www.facebook.com/ChowKonYeow/videos/2131624000188372/