Rencana

Ketupat, rendang dan politik Malaysia Baru

Sambil menjamah ketupat dan rendang pada hari raya yang mulia ini, ada antara kita yang bersemangat untuk bersembang kencang tentang politik semasa. Apatah lagi inilah kali pertama dalam sejarah, Aidilfitri dirayakan bersama sebuah kerajaan yang bukan lagi bernama Barisan Nasional.

Sudah tentu selepas kerajaan baru Pakatan Harapan dibentuk lebih sebulan lalu, ramai yang menuntut agar ia membuat keajaiban dalam masa yang singkat. Mungkin ada yang rasa seolah-olah kerajaan mempunyai kuasa sakti untuk melaksanakan perubahan dalam sekelip mata.

Ada yang mahu harga barang turun serta-merta, ada yang mahu gaji naik esok, ada yang mahu ekonomi pulih lusa. Ada pula yang mahu pemimpin lama ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah sekarang juga.

Sedangkan kita sedar bahawa jika kita sendiri mahu memulakan langkah untuk berubah, ia memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang rapi. Jika tergesa-gesa melakukannya, kesannya buruk.

Pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), usaha mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan, dan potongan 10% gaji menteri dan pegawai tinggi kerajaan, malah Yang di-Pertuan Agong juga rela gaji dan emolumen baginda dipotong, adalah antara langkah awal untuk mengawal perbelanjaan kerajaan.  

Kesannya tidak akan dilihat sekarang. Masa masih diperlukan untuk memulihkan ekonomi. Krisis ekonomi negara masa kini bukan kesan kegawatan global, sebaliknya ia merupakan kemelut ciptaan rejim kleptokrasi yang lepas.

Tentu ramai yang marah dengan rejim yang lalu. Tentu ada yang mahu mereka ditangkap segera. Namun masa tetap diperlukan untuk memastikan pertuduhan yang lengkap dapat disediakan.

Bayangkan jika pemimpin lama dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan-tuduhan yang tidak tepat dan jitu, kes akan dibuang. Jika diteruskan sekali pun, mungkin didapati tidak bersalah apabila gagal mengemukakan bukti kukuh.

Buruk padahnya jika orang yang kita yakini zalim terlepas daripada hukuman semata-mata kerana kita terlalu tergesa-gesa seperti sudah tiada lagi esok dan terlalu ghairah untuk menghukum.

Jika kita boleh menahan seksa, pedih dan sakit era rejim lama hampir satu abad lamanya, tentu kita boleh bersabar seketika agar semua yang dilakukan benar-benar terlaksana baik.

Selain itu, ada juga tuntutan kebebasan dan hak. Biasanya kita menyalahkan undang-undang yang zalim. Andaian itu memang benar tetapi tidak semestinya semua begitu.

Masalah yang kita hadapi selama ini bukan sekadar undang-undang yang zalim dan menutup kebebasan bersuara. Yang turut menjadi masalah besar adalah sikap dan amalan kita sendiri.

Sikap taksub kepada kaum, agama dan pegangan sendiri selama ini menyukarkan kita membuka ruang perbincangan. Ada antara kita yang masih takut kepada hakikat, bimbang dengan suara alternatif, dan menolak pandangan orang lain tanpa membuka ruang bicara.

Begitu juga soal penguatkuasaan undang-undang. Sebagai contoh, negara kita mempunyai undang-undang anti rasuah yang tegas, keras dan agak lengkap tetapi selama ini korupsi menjadi barah dalam masyarakat kerana penguatkuasaannya yang lemah. Ia menjadi longlai kerana tiada iltizam daripada mereka yang berada di puncak kuasa untuk menguatkuasakannya.

Namun masih ada yang mahu undang-undang dijadikan lebih ketat. Untuk apa? Penyelesaian yang lebih baik adalah iltizam bersama antara kerajaan dan rakyat untuk menguatkuasakannya, tanpa takut kepada penguasa, tanpa memilih bulu dan tanpa peduli dengan pangkat serta kedudukan orang yang melakukan rasuah.

Kerajaan baru Pakatan Harapan perlu menanganinya. Memang masa diperlukan. Tetapi jika masalah yang sama ini belum selesai pada tahun-tahun mendatang, jangan salahkan rakyat jika kerajaan yang ada akan ditendang keluar seperti rejim lama.

Kerajaan dan rakyat sama-sama perlu beriltizam untuk berubah. Perubahan memerlukan sedikit sebanyak pengorbanan. Ia bakal membawa luka, pedih dan sakit hati sepanjang perjalanannya.

Jika sikap kerajaan dan rakyat tidak banyak berubah, sukar untuk melihat perubahan positif. Seperti kata-kata sang genius Albert Einstein: “Yang dikatakan gila adalah melakukan perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza”.

Semoga Syawal yang penuh rahmat ini memberi suntikan semangat baru untuk kita berubah walau pun perubahan itu bakal menggugat ruang selesa kita sendiri.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin. – Roketkini

Rencana asal telah diterbitkan terdahulu di portal The Malaysian Insight.