Berita

UMNO kena terima kritikan Kit Siang – Dr Aziz Bari

Exco Kerajaan Negeri Perak Dr Abdul Aziz Bari berkata, UMNO perlu lebih matang dan berlapang dada menerima sebarang sebarang pandangan atau kritikan terhadap parti itu.

Katanya, dalam arena politik, siapa saja berhak memberi komen dan terpulang kepada umum untuk membuat penilaian, termasuklah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Sama ada komen itu objektif atau sesuatu yang ada kepentingan politik. Apa pun kita perlu lebih matang dan terbuka dalam landskap politik Malaysia baru yang ada sekarang,” katanya dihubungi Roketkini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Unit Komunikasi Strategik UMNO yang dilaporkan UtusanOnline mendakwa kononnya wujud ‘campur tangan’ daripada Kit Siang bagi menentukan nasib dan masa depan UMNO.

Komen Kit Siang itu juga didakwa kononnya mahu melihat ‘satu-satunya parti orang Melayu tersebut hancur.’

Mengulas perkara itu, Aziz berkata tidak ada kesalahan sekiranya Kit siang melontarkan sebarang pandangannya terhadap pemilihan UMNO.

“Beliau bebas membuat komen. Selain itu beliau pernah jadi wartawan dan menjadi hak beliau untuk membuat apa saja komen mengenai hal-hal yang menyentuh polisi dan kepentingan awam.

“UMNO perlu sedar bahawa untuk terus relevan mereka perlu akur bahawa apa yang mereka putus dan lakukan akan mengundang komen.

“Keduanya UMNO sendiri sering membuat komen mengenai DAP dan parti lain yang sebahagiannya tidak betul malah memfitnah. UMNO perlu berlapang dada dalam soal ini,” katanya lagi. – Roketkini.com