Berita

Amirudin Shari ada aura kepimpinan tersendiri – Ng Suee Lim

Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim menyifatkan Amirudin Shari yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor memiliki ketokohan dan aura tersendiri selain pengalamannya memegang portfolion sebagai Exco sebelum ini.

Ng Suee Lim, Adun Sekinchan

Menurutnya, pelantikan itu akan melonjakkan sokongan dan dokongan rakyat Selangor daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutama anak muda terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) lapor SelangorKini.

“Saya yakin dan percaya beliau akan dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Sudah pasti dengan pentadbiran Amirudin, Selangor akan terus menjadi peneraju Malaysia dan negeri maju, sederhana serta progresif,” kata beliau.

Bendahari DAP Selangor itu berharap Amirudin dapat menumpukan perhatian terhadap masalah pengangguran selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, terutama belia.

“Memandangkan Amirudin sudah lama menjawat jawatan Exco belia sebelum ini, jadi saya rasa tidak menjadi masalah untuknya menyelesaikan isu pengangguran, terutama di Selangor,” kata Suee Lim.

Amirudin dilantik sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Ahli Dewan Negeri (Adun) Sungai Tua yang berusia 38 itu mengangkat sumpah dan aku janji sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah semalam di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. – Roketkini.com