Berita

DAP cadang DBKL agih tapak tanpa orang tengah

Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun hari ini mencadangkan supaya pengagihan tapak berniaga dilakukan secara langsung oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tidak lagi melalui orang tengah.

“Saya mencadangkan agar DBKL hentikan penggunaan orang tengah bagi semua tapak bazar Ramadan, Tahun Baru Cina atau Deepavali, mereka seharusnya beri secara langsung kepada individu yang memohon, bukan melalui NGO atau persatuan,” katanya kepada media hari ini, lapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Dang Wangi ekoran kontroversi skandal 80 lot bazar Ramadan di Jalan Masjid India yang telah mengheret dan mencemarkan reputasinya sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Isu ini timbul setelah pemimpin bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mohd Noorhisyam Abd Karim didakwa mengenakan bayaran sehingga RM5,000 terhadap peniaga bagi setiap tapak yang diluluskan DBKL.

Nama Fong terheret apabila isu surat sokongan sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan timbul apabila Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain mendakwa kononnya ‘dipaksa’ meluluskan permohonan lot bazar berkenaan selepas menerima surat sokongan daripada Fong.

Bagaimanapun, Fong hari ini menjelaskan bahawa surat sokongan yang dikeluarkan pihaknya merupakan dokumen yang diperlukan DBKL sendiri sebelum memproses permohonan lot bazar terbabit.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan pusat perkhidmatan Bukit Bintang untuk mengeluarkan surat pada 31 Mei 2018 yang menyatakan bahawa saya tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan oleh En. Mohd Norhisyam untuk Datuk Bandar Kuala Lumpur mempertimbangkan permohonan tersebut,” kata Fong pada laporan polisyang dibuat.

Dalam perkara berkaitan, Fong berkata pengeluaran surat sokongan merupakan perkara lazim sebagai wakil rakyat.

Katanya, sepanjang lima penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, ribuan surat seumpamanya telah dikeluarkan terutamanya bagi pihak yang memohon bantuan kebajikan. – Roketkini.com

Foto: Hasful Zainuddin