Berita

Dedah penyelewengan supaya boleh diperbetulkan – Lim Kit Siang

Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang berkata pendedahan skandal penyelewengan dan salah laku kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu bukan menjadi satu kesalahan malah ia mampu diperbetulkan untuk membina Malaysia Baru.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Umum Pakatan Harapan (HARAPAN) kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng supaya lebih berhati-hati dengan kenyataan yang dikeluarkannya.

“Saya percaya wujud keperluan untuk membina Malaysia baru, dan kita mesti boleh membetulkan kesilapan masa lalu.

“Apa yang lebih penting adalah kita perlu komited dan tidak sesekali bertoleransi dalam apa jua bentuk rasuah di negara ini.

“Malah, sepanjang karier politik saya selama 52 tahun, saya turut membongkar segala salah laku. Jadi, saya rasa tidak salah untuk berbuat demikian.

“Malaysiakini, (misalnya), akan mendedahkan ini jika mereka mempunyai maklumat, dan mereka (mungkin) menyalahkan menteri kerana menutupnya,” katanya.

Menghargai ‘teguran’ Anwar sebelum ini, Guan Eng dalam satu kenyataan berkata pembongkaran salah laku kerajaan terdahulu tetap akan didedahkan kepada umum.

Menurutnya, semua pendedahan skandal kewangan terutama 1MDB adalah atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar sendiri sedia maklum tentang perkara itu. – Roketkini.com