Berita

Pelajar 12 tahun pecah tabung demi negara tanpa dipaksa

Erwin, 12 tahun bertindak nekad menyumbangkan seluruh tabungannya kepada Tabung Harapan Malaysia; walaupun mempunyai keinginan lain.

“Saya beritahu Erwin, simpan sahaja tabungan itu dan beli set dram yang beliau mahukan.

“Namun beliau enggan dan bertegas bahawa ‘Malaysia sedang dalam keadaan memerlukan’.”

Demikian tulis Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh di laman sosial Facebook menjelaskan sumbangan pelajar itu di sidang medianya siang tadi. Turut hadir sama ialah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Memberi penjelasan panjang di media sosial, Hannah berkata Tabung Harapan Malaysia bukanlah suatu tabung politik.

“Ia ditubuhkan sebagai respon kepada ribuan rakyat Malaysia yang mahu menyumbang untuk membantu negara.

“Sudah sampai masanya kita memberikan peluang kepada generasi muda untuk mengekspresikan diri, dan memberi dorongan apabila niat mereka baik,” jelas beliau.

Ayah pelajar itu terlebih dahulu menghubungi Hannah, memaklumkan bahawa anaknya sudah lama mendengar khabar tentang tabung khas tersebut dan ingin membantu, sepertimana ribuan warga Malaysia sebelum beliau.

Tabung Harapan Malaysia setakat jam 3 petang 20 Jun 2018, telah mengumpul dana berjumlah RM89,127,407.24, sejak ia dilancarkan pada 30 Mei lalu.

“Saya tidak rasa segan menyaksikan penyerahan tabungan Erwin ini. Yang patut merasa segan ialah mereka yang telah merompak hasil negara dan menjadi punca wujudnya tabung ini,” tegas Hannah. – Roketkini.com