Berita

Rakyat berhak ketahui kebenaran, tidak kiralah sepahit mana pun – Tony Pua

Kerajaan Pakatan Harapan tidak begitu bimbang dengan naik turun pasaran saham untuk jangka masa pendek. Apa yang lebih penting ialah pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang dengan asas yang kukuh, telus dan jujur.

Demikian penegasan dibuat Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, dalam respon kepada dakwaan Tengku Razaleigh Hamzah kononnya tindakan pendedahan oleh Kementerian Kewangan adalah punca kejatuhan pasaran saham.

“Kerajaan baharu percaya bahawa rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran, tidak kiralah betapa pahit pun kebenaran itu.

“Apabila kerajaan menjadikan ketelusan sebagai suatu bahagian penting pentadbirannya, masa depan negara dapat dilindungi,” ujar Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

Bagi beliau, Tengku Razaleigh memperlihatkan kejahilannya apabila menyalahkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai punca kejatuhan pasaran saham.

“Bukankah seorang calon presiden UMNO sepatutnya sedar bahawa kejatuhan pasaran ekuiti global beberapa hari lalu adalah ekoran pelbagai faktor luaran?

“Malah sebenarnya, indeks komposit Kuala Lumpur adalah yang paling kurang menerima kesan. Setakat 19 Jun, pasaran ekuiti di Bangkok, Singapura, Seoul dan Hong Kong masing-masing merosot sebanyak 5%, 4.2%, 3.6% dan 3.3%.

“Adakah Tengku Razaleigh mahu menyalahkan pendedahan Guan Eng sebagai punca kejatuhan ini juga?” soal Tony yang kini berkhidmat secara percuma di Kementerian Kewangan.

Indeks komposit KL hanya jatuh 1.5% dalam tempoh masa serupa.

Dalam suatu wawancara bersama Astro Awani, Razaleigh mendakwa bahawa amalan ketelusan Lim Guan Eng adalah punca pihak-pihak tertentu menjual saham mereka.

Beliau yang kini cuba merebut jawatan presiden UMNO turut menegaskan bahawa tidak perlu bagi pihak kerajaan mendedahkan secara terperinci keterhutangan pihak kerajaan, yang dikumpul di zaman pentadbiran Barisan Nasional.

“Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, kerajaan HARAPAN tidak akan berbohong kepada rakyat dan mengkhianati kepercayaan mereka.

“Kami tidak akan tewas kepada kecenderungan untuk menyembunyikan kebenaran daripada mata massyarakat, yang menjadi punca amalan rasuah secara besar-besaran (dalam kerajaan lama),” tegas Tony lagi. – Roketkini.com