Berita

Perkasa bidang perfileman, kerajaan struktur semula Finas

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mahu supaya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) distrukturkan semula secara menyeluruh bagi memastikan kelancaran tadbir urus di agensi itu.

Menurutnya, reformasi dalaman itu penting khususnya melibatkan proses penyaluran dana kerajaan dalam industri kreatif negara ini.

“Saya lihat wujud banyak masalah dalam cara dana ini disalurkan dan ada keperluannya kita mengkaji semula seluruh proses saluran dana ini, jadi apa kita perlukan ialah reformasi lengkap dan menyusun semula kesemua prosedur di sini supaya kita boleh lihat dana yang disalurkan digunakan pada tahap maksimum.

“Saya faham ada banyak bakat-bakat baru yang mahu menceburi bidang perfileman dan mereka memerlukan bantuan tetapi kita perlu sistem yang memastikan dana dikeluarkan itu digunakan untuk tujuan betul, tiada ketirisan dan bukan hanya pihak tertentu berkuasa menyalurkan dana,” kata Gobind.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dan menghadiri sesi taklimat di pejabat FINAS di Jalan Utara hari ini.

Beliau berkata, kajian semula proses penyaluran dana itu akan melibatkan dua peringkat iaitu dana yang disalurkan oleh kerajaan kepada Finas dan dana yang disalurkan Finas kepada pemohon.

Bagi melaksanakan langkah tersebut, pihaknya akan memanggil semua pihak berkepentingan, persatuan perfileman dan pemohon dana dalam masa tiga minggu lagi bagi mendengar idea yang boleh dipertimbangkan.

Gobind juga tidak tidak menolak untuk mengguna pakai model dan cara pengurusan yang digunakan oleh institusi perfileman di negara lain dalam menyalurkan dana kepada pembikin filem mereka.

Selain Finas, beliau berkata beberapa agensi lain yang turut memerlukan penstrukturan semula termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MYNIC Berhad.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan beberapa individu daripada Finas dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merekodkan keterangan berhubung pertikaian penyaluran dana tahun 2017. – Rokektini.com