Berita

Pusat asuhan kanak-kanak di semua agensi kerajaan menjelang 1 Januari hadapan

Kerajaan mensasarkan untuk mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanan di seluruh agensi perkhidmatan awam persekutuan dan negeri menjelang 1 Januari tahun hadapan kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Hannah Yeoh.

Selain sektor awam, pihak swasta juga katanya digalakkan untuk menyediakan kemudahan tersebut  melalui insentif pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun bagi ubah suai dan penyelenggaraan bangunan untuk pusat asuhan.

“Kerajaan telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil. 6/1989 di mana Perkhidmatan Persekutuan dan Negeri hendaklah menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja untuk kemudahan ibubapa yang bekerja menghantar anak-anak mereka bagi mendapat pengasuhan yang berkualiti.

“Kementerian ini akan membuat audit di semua agensi kerajaan bagi memastikan semua agensi kerajaan mempunyai pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja terutamanya mereka yang bekerja secara syif,” katanya, dalam sidang media hari ini.

Mengulas tragedi malang kematian adik Adam Rayqal Mohd Sufi yang berusia lima bulan di rumah pengasuhnya semalam, Hannah berkata ia merupakan tragedi  yang sangat mengejutkan dan ia tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya sempat bertemu dengan keluarga mangsa di Hospital Kuala Lumpur semalam dan telah menyampaikan salam takziah kepada kedua ibu bapa dan seluruh ahli keluarga mereka.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan syabas kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana bertindak pantas menyiasat dan menyelesaikan isu ini,” katanya.

Ujarnya, tragedi malang itu menunjukkan terdapat ruang yang boleh ditambahbaik terutamanya kategori taska kanak-kanak yang di bawah Akta 308.

Antara penambahbaikan yang sedang dipertimbangkan oleh kementerian katanya ini adalah mengkaji keperluan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak atau badan bebas kanak-kanak yang akan melapor dan membuat cadangan kepada Parlimen.

“Saya akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai perkara ini,” katanya lagi. – Roketkini.com