Berita

Kerajaan baru Sabah mesti beri tumpuan selesai masalah Orang Asal – Tan Lee Fatt

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Tan Lee Fatt menyeru kerajaan Sabah agar mengambil langkah konstruktif menyelesaikan beberapa masalah melibatkan kepentingan bumiputera dan Anak Negeri yang telah berlanjutan lama sejak pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Antara yang dibangkitkan adalah mengenai anak-anak Orang Asal tanpa dokumen pengenalan diri, pemuliharaan agama dan budaya tradisi serta Hak Tanah Adat.

“Saya berpandangan bahawa kerajaan perlu mewujudkan usaha untuk memelihara dan mempertahankan kelangsungan adat istiadat dan kepercayaan tradisi masyarakat Orang Asal daripada terus hilang ditelan zaman dan akibat persaingan agama-agama lain.

“Tanpa sebarang langkah pemuliharaan, saya bimbang identiti dan kepercayaan masyarakat Orang Asal di Sabah akan hilang,” katanya.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha DAP Sabah itu turut membangkitkan persoalan mengenai status pewartaan Tanah Hak Adat melibatkan beberapa kampung yang masih belum selesai.

Antaranya ialah Kg Bulud Batu Montuyon yang masih belum didaftarkan Di Pejabat Daerah Pitas dan Kg Imahit di Sook melibatkan isu penggazetan Tanah Adat kepada Tanah Kerajaan.

Tan berkata, menurut penduduk yang terjejas, pembubaran status Tanah Adat Kg Imahid telah pun di bawa oleh wakil rakyat DUN Sook, Datul Elron Angin pada tahun 2016 dan masih menjadi tanda tanya.

“Bagaimanakah kerajaan baru melihat peranan Geran komunal yang telah menidakkan peranan Tanah Adat dengan Pemusnahan kuburan lama yang menjadi tanda pemilikan tanah adat oleh Penduduk Orang asal?

“Apakah penyelesaian kerajaan menangani masalah Tanah Aat yang terkandung dalam Tanah Hutan Simpan?” soalnya.

Dalam masa yang sama, Tan turut memohon kerajaan Sabah supaya menyemak semula perjanjian Forest Management Unit (FMU) supaya Wilayah Adat Kg Pakat yang telah dimasukkan dalam laporan hutan simpan diberikan kepada pemilik asal (Orang Asal).

“Keputusan Tanah Adat Kg Pakat tidak mempunyai status dan mengelirukan kerana penduduk tidak tahu di mana kawasan Kg Pakat kerana kerajaan sebelumnya (BN) tidak menjelaskan perkara ini.

“Sepatutnya selepas bubar warta, kawasan itu dipunyai oleh penduduk tetapi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) masih menyatakan kawasan yang pernah diwartakan itu adalah hak mereka meskipundiluar kawasan yang diukur,” katanya lagi.

Tan Lee Fatt mewakili DAP memenangi kerusi DUN Likas pada PRU14 lalu menumpaskan calon BN Datuk Chin Shu Yin dan calon SAPP Datuk Richard Yong We Kong dengan majoriti 7,902 undi.

Terdahulu, kerusi tersebut disandang oleh Junz Wong (DAP) yang kemudiannya menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) – Roketkini.com