Berita

Perang dagang AS-China peluang kukuh ekonomi ASEAN – Dr Ong Kian Ming

Keadaan tidak menentu dalam hubungan geopolitik dan ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat boleh memberi peluang kepada pemilik perniagaan di ASEAN mempromosikan pelaburan dan perdagangan ke Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dr Ong Kian Ming, berkata ia boleh dilakukan dengan mempamerkan kestabilan politik dan peraturan kukuh di negara ini.

Menurutnya, MITI akan mengadakan jelajah bagi mempromosi perdaganagan dan pelaburan ke negara ini selain menunjukkan kepada komuniti perdagangan antarabangsa bahawa Malaysia menerima pelaburan dan perniagaan.

“Kita mahu menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang baik ke Malaysia dari negara-negara ASEAN dan serantau,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis ‘An Evening with ASEAN-BAC Malaysia’ di Kuala Lumpur, semalam lapor Bernama.

Majlis dianjurkan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) itu bertujuan bagi memperkenalkan inisiatif untuk membantu komuniti perniagaan tempatan berkembang ke ASEAN.

Dalam perkara berkaitan, Kian Ming berkata MITI juga komited untuk mencari sumber baru pertumbuhan ekonomi di Malaysia bagi mewujudkan pekerjaan tahap tinggi sekaligus berpandapatan tinggi.

“Sebelum ini, Malaysia menarik pekerjaan pembuatan dengan tokokan nilai rendah. Sekarang, negara ingin beralih ke arah pekerjaan tokokan nilai tinggi dengan pendapatan tinggi, yang boleh mengurangkan pergantungan kita kepada buruh asing.

“Dengan kerjasama industri, kita yakin yang kita boleh menunjukkan bahawa kita berupaya untuk bergerak ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya lagi. – Roketkini.com

Kredit foto: Malaysiakini