Berita

Dihukum salah, Himpunan Hijau tetap teruskan perjuangan

15 aktivis Himpunan Hijau termasuk pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Bentong Wong Tack didapati bersalah menyertai perhimpunan anti-Lynas empat tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan Datuk Unaizah Mohd memerintahkan Wong Tack dan sembilan aktivis yang lain didenda RM1,500 manakala lima lagi tertuduh dihukum denda RM1,600 dengan penjara selama 30 dan 40 hari bagi setiap hukuman.

Jumlah keseluruhan denda ialah RM23,000 dan sebanyak RM24,000 berjaya dikumpul dalam tempoh tiga jam melalui sumbangan orang ramai.

Ketika dibubungi, Wong Tack menzahirkan rasa sedih dan kesal dengan keputusan berkenaan yang bukan sahaja telah memakan masa yang panjang, malah turut mengakibatkan pelbagai kesukaran kepada aktivis dan ahli keluarga mereka.

“Pihak kami akan berbincang dengan pasukan peguam untuk rayuan. Kita akan terus suarakan perkara ini dan saya telah pun bercakap dengan Menteri berkaitan mencadangakn penubuhan sebuah jawatankuasa khas mengkaji perkara ini.

“Saya berasa yakin kita akan menangani perkara ini mengikut undang-undang.

“Saya percaya kita akan lakukan yang terbaik supaya Lynas dapat diambil tindakan sewajarnya dan saya yakin sekurang-kurangnya kita boleh memastikan Lynas mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai yang sudi menghulurkan derma bagi menampung bayaran denda yang ditetapkan.

Kerajaan kaji semula projek Lynas

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin semalam telah mengumumkan sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk  untuk mengkaji semula projek Lynas.

Jawatankuasa itu katanya akan diketuai oleh beliau, Wong Tack dan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

“Saya telah bercakap dengan mereka dan mereka juga telah bersetuju. Jadi, kita akan lihat jawatankuasa itu pada minggu hadapan.

“Kami juga akan berjumpa Jabatan Alam Sekitar untuk membincangkan mengenai isu Lynas dan melihat bagaimana kami dapat membentuk jawatankuasa itu, dan kemudian mengambil langkah seterusnya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bakri. – Roketkini.com