Berita

DAP cadang wujudkan pelan pembangunan masyarakat selesai masalah Orang Asli

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dicadangkan agar mewujudkan Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli sebagai mekanisme penyelesaian masalah pasti melibatkan aspek sosio-budaya dan psikologi, ekonomi, politik dan juga alam sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong berkata, langkah tersebut perlu diberi keutamaan kerana masyarakat Orang Asli masih jauh ketinggalan daripada nikmat kemajuan yang telah dikecapi negara sejak lebih 60 tahun lalu.

“Sebahagian besar masyarakat Orang Asli masih jauh ketinggalan dalam banyak hal berbanding kaum-kaum lain.

“Keadaan sedemikian bukan semata-mata hanya disebabkan oleh kelemahan atau kekurangan pada masyarakat Orang Asli itu sendiri, akan tetapi ia juga berpunca daripada tindakan dan strategi yang tidak telus yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional yang memegang kuasa selama 61 tahun sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikan setelah mengadakan tinjauan bersama Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dan Adun Bilut Lee Chin Chen ke Kampung Angkek, Gua Musang Kelantan dan Kampung Ulu Tual, Kuala Lipis Pahang.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah bekas calon Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran dan Setiausaha Biro Organisasi DAP Kebangsaan, Vincent Wu.

Dalam tinjauan itu, Yoke Kong berkata terdapat banyak masalah yang masih dihadapi masyarakat Orang Asli tempatan termasuk hak yang telah diabaikan selama ini.

Empat masalah utama yang perlu diberi tumpuan segera kata beliau ialah melibatkan isu Hak Tanah Adat – pencerobohan dan pengambilan tanah, kekurangan kemudahan asas, keciciran dalam pendidikan dan kesihatan, serta kelemahan pentadbiran JAKOA.

“Untuk memberi jalan penyelesaian lestari kepada masyarakat Orang Asli, saya mencadangkan bahawa kuasa JAKOA harus disemak semula dan satu Suruhanjaya Orang Asli seperti mana yang disyorkan oleh SUHAKAM perlu ditubuhkan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh Orang Asli khususnya isu tanah adat,” ujarnya.

Merujuk kepada Konvesyen 107 Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) Mengenai Orang Asli katanya, ia telah menggalakkan setiap pemerintah melibatkan Orang Asli di dalam projek pembangunan negara dan telah menyediakan panduan mengenai perlindungan Orang Asli.

Justeru beliau amat berharap kerajaan akan mewujudkan Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli bagi menyelesaikan segala masalah yang diabaikan selama ini oleh kerajaan terdahulu. – Roketkini.com