Rencana

Dasar pengambilan pekerja asing perlu fleksibel mengikut sektor

Kenyataan media bersama persatuan-persatuan pertanian Cameron Highlands dan ADUN Tanah Rata (Pahang) Chiong Yoke Kong

Masalah pekerja asing membelenggui masyarakat Malaysia selama berpuluh-puluh tahun tetapi penyelesaiannya masih tidak tercapai. Persatuan-persatuan di Cameron Highlands menyeru kepada pihak kerajaan agar merancang dan melaksanakan polisi pekerja asing secara lebih fleksibel berdasarkan sektor yang berbeza sebagai langkah pertama ke arah jalan penyelesaian yang memuaskan.  

Tidak dapat dinafikan bahawa polisi pekerja asing selama ini amat tidak memuaskan dan mendatangkan impak-impak negatif, bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada para majikan. Dengan itu, kami ingin memberi cadangan kepada pihak kerajaan agar lebih fleksibel dalam usaha mengendalikan polisi pekerja asing seperti berikut:

(1)  Melanjutkan tempoh Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati)

Menurut statistik yang ditunjukkan dalam laporan The Edge bertarikh 2 Julai 2018, jumlah pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara kita adalah sebanyak 4.24 juta (71%), berbanding dengan pendatang asing yang mempunyai permit sebanyak 1.76 juta (29%). Statistik yang dikeluarkan amat mengejutkan, namun kita perlu berdepan dengan realiti bahawa selagi pihak kerajaan tidak mengenal pasti dan mendaftar Pati yang sedia ada, jumlah sebenar Pati di Malaysia tidak mungkin dapat dikenal pasti manakala perkembangan ekonomi negara juga akan terjejas.

Di samping itu, proses rehiring juga dapat menjana pendapatan negara kerana pihak majikan perlu membuat bayaran yang tertentu kepada pihak kerajaan. Dengan itu, pendapatan yang dijana melalui proses rehiring juga berpotensi menjadi bayaran kepada hutang negara yang telah mencecah RM 1 Trillion.

(2)  Memberi kelonggaran pengambilan pekerja asing kepada sektor-sektor tertentu seperti sektor pertanian yang amat memerlukan tenaga kerja

Faktor utama kebergantungan kerja asing masih relevan dalam sektor-sektor tertentu, terutamanya seperti pertanian adalah sektor tersebut sering dikaitkan dengan 3D (Dirty, Difficult and Dangerous). Dengan kata lain, sektor pertanian mengalami masalah kesukaran menarik minat pekerja tempatan untuk menceburinya.

Di samping itu, status Cameron Highlands selama ini sebagai tapak pertanian di tanah tinggi sebenarnya amat strategik kerana menghasilkan produk pertanian yang berkualiti dan terkenal di arena antarabangsa. Untuk mengekalkan status strategik Cameron Highlands, sektor pertanian memang memerlukan tenaga kerja yang tetap dan beterusan. Disebabkan majoriti produk pertanian di Cameron Highlands adalah tanaman jangka pendek (short term crops) seperti sayur-sayuran, bunga-bungaan serta buah-buahan, penanaman dan pemungutan hasil perlu dijalankan oleh pekebun sepanjang tahun.

Oleh itu, tenaga kerja yang tetap membolehkan pekebun-pekebun di Cameron Highlands menghasilkan sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan secara konsisten dan seterusnya memenuhi permintaan pasaran di dalam dan di luar negara.

(3)  Memudahkan Standard Operating Procedure (SOP) bagi rehiring dan pengambilan pekerja asing

Pada pendapat kami, kos yang tinggi, prosedur yang amat rumitserta tidak diintegrasikan antara jabatan-jabatan kerajaan, kronisme yang memberi faedah kepada syarikat-syarikat tertentu, dan amalan korupsi yang berleluasa adalah sebab-sebab polisi pekerja asing gagal dilaksanakan seperti yang dirancang.

Salah satu cara yang dianggap berkesan untuk menyelesaikan ataupun sekurang-kurangnya mengurangkan masalah tersebut adalah memudahkah SOP permohonan pekerja asing. Setelah SOP dipermudahkan, permohonan boleh dilakukan oleh pihak majikan berdasarkan keperluan sendiri tanpa perlunya mengambil masa yang amat panjang. Ini juga dapat mengelakkan pihak-pihak tertentu daripada mempergunakan birokrasi dan proses rumit untuk terlibat dalam amalan rasuah atau aktiviti penipuan.

Secara kesimpulannya, kami berharap bahawa pihak kerajaan akan merancang dan memperkenalkan dasar tentang pekerja asing secara lebih feksibel. Walaupun tenaga pekerja asing diperlukan pada masa sekarang, kami ingin tegaskan bahawa proses rehiring serta kebergantungan perkerja asing adalah sementara. Hasrat persatuan-persatuan di Cameron Highlands adalah kerajaan akan membantu pekebun-pekebun mengurangkan kebergantungan pekerja asing secara berperingkat. Antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan yang kami cadangkan adalah:

(1)  Memperkenalkan teknologi pertanian yang terkini dan sesuai agar membawa sektor pertanian ke arah peningkatan industri (industrial upgrading).

(2)  Menghasilkan pekerja tempatan yang berkualiti melalui Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Malaysia (TVET)

(3)  Memberi insentif kepada sektor pertanian di Cameron Highlands serta tapak pertanian lain di Malaysia

Dengan adanya langkah-langkah tersebut, kami yakin bahawa sektor pertanian di Cameron Highlands serta tempat lain akan mengurangkan keperluan pekerja asing dan menjana perkembangan ekonomi negara pada masa yang sama.  

Kenyataan Bersama disediakan oleh:

  1. YB Chiong Yoke Kong (DUN Tanah Rata)
  2. Pertubuhan Pengusaha Petanian Cameron Highlands
  3. Pertubuhan Pengusaha Bunga-bungaan Cameron Highlands
  4. Pertubuhan Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands
  5. Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands
  6. Persatuan Pekebun Kecil India Cameron Highlands
  7. Teh Plantations