Berita

Pelantikan Richard Malanjum perkukuh perpaduan, keluhuran Perlembagaan

Pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim pertama daripada Sabah merupakan tunjang mengembalikan integriti perlembagaan serta mengukuhkan perpaduan serta integrasi tiga wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, pelantikan itu penting bagi melaksanakan visi Malaysia sebagai sebuah Persekutuan di mana hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dihormati dan diiktiraf.

Tambahan pula pelanjutan tempoh Tan Sri Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang sebelum ini Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan pada Ogos dan September tahun lalu didakwa sebagai tidak berperlembagaan.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, beliau telah menyuarakan tentang pelantikan Malajum ke jawatan tersebut pada 14 Julai 2017 di Miri.

“Saya telah mengatakan bahawa rakyat Malaysa perlu memberi perhatian serius apabila integriti dan keluruhan Perlembagaan Malaysia semakin kurang dihormati lebih-lebih lagi dengan ‘pelantikan haram’ dan tidak berperlembagaan Tan Sri Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad.

“Pelanjutan tempoh kedua mereka bukan sahaja tidak berperlembagaan tetapi akan memberi kesan terhadap peluang dan calon kepada sekurang-kurangnya lapan hakim Mahkamah Persekutuan termasuk tiga wanita.

“Keadaan ini sememangnya tidak adil apabila ia telah menafikan peluang Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak untuk menjadi Ketua Hakim Negara,” katanya dalam kenyataan.

Malanjum merupakan bumiputera Sabah pertama dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi dan rakyat Sabah pertama sebagai Hakim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan; mahkamah tertinggi di Malaysia pada tahun 2005 di usia 52.

Pada 26 Julai 2006, Malanjum merupakan rakyat Sabah pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak sejak pembentukan Malaysia di mana jawatan tersebut sebelum ini hanya pernah disandang oleh pegawai Britisih, Semenanjung dan Sarawak.

Malanjum juga merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan yang lebih senior daripada Raus dan Zulkefli. – Roketkini.com