Berita

Kematian Eddie Ng kehilangan besar buat DAP, negara – Lim Guan Eng

DAP menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian Ahli Dewan Negeri (Adun) Balakong, Eddie Ng Tien Chee yang terlibat dalam nahas jalan raya awal pagi tadi.

Setiausaha Agung Lim Guan Eng berkata, kehilangan Eddie ujarnya merupakan satu kehiilangan besar bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada negara kerana mendiang merupakan seorang yang amat berdedikasi dan cemerlang.

“DAP mengucapkan sedalam takziah kepada keluarga mendiang dan tiga anaknya dan berharap mereka kental melalui dugaan hebat ini dengan tenang kerana ayah mereka akan diingati oleh seluruh rakyat kawasannya dan parti,” katanya.

Katanya, Eddie merupakan seorang wakil rakyat yang teliti, rajin, berdedikasi dan berpewatakan menarik, pengurus parti dan seorang ketua keluarga yang baik.

“Perkhidmatannya kepada segenap lapisan masyarakat melangkaui kaum, agama dan latar belakang boleh menjadi contoh kepada wakil-wakil rakyat lain.

“Kepimpinan tertinggi parti yang mengenali dan pernah bekerja dengannya sepanjang enam tahun lalu dan dalam beberapa pilihan raya umum amat terkejut dengan kematian tragis ini,” katanya.

Menyingkap kembali kualiti kepimpinan mediang, Guan Eng berkata Eddie akan terus diingati kerana memiliki kualiti yang sukar dicari ganti.

“Beliau juga dianggap sebagai pemimpin masa depan parti yang mampu menyelesaikan sesuatu perkara dengan baik,” kata Guan Eng.

Pada pilihan raya umum ke-14, Eddie terus mempertahankan DUN Balakong yang diwakilinya sejak tahun 2013 dengan majoriti yang lebih besar.

Beliau memperoleh majoriti undi sebanyak 35,538 atau 78 peratus daripada jumlah undi melalui pertembungan tiga penjuru menewaskan calon PAS dan BN yang hilang wang deposit. – Roketkini.com