Berita

DAP kecam undang-undang ketuanan Yahudi

DAP mengecam sekeras-kerasnya “undang-undang Ketuanan Yahudi” yang bersifat zalim, tidak adil dan tidak demokratik kata Setiausaha Agung, Lim Guan Eng.

“Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Knesset Israel yang telah meluluskan “undang-undang negara Yahudi” yang bersifat zalim, tidak adil dan tidak demokratik sama sekali.

“Undang-undang terbaru tersebut menjunjung konsep Ketuanan Yahudi dan menindas hak-hak minoriti, terutamanya bangsa Arab yang merupakan kumpulan minoriti terbesar di negara itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian membidas Parlimen Israel yang baru-baru ini meluluskan rang undang-undang kontroversi yang mentakrifkan negara itu sebagai negara Yahudi secara eksklusif dengan 62 MP menyokong manakala 55 MP menolak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata, undang-undang menindas tersebut juga sekaligus mengetepikan identiti penduduk Arab termasuk bahasa mereka melalui proses perundangan yang bersifat perkauman.

“Bahasa Arab yang sebelum ini diiktiraf oleh undang-undang sebagai bahasa rasmi kini telah diturunkan taraf.  Kaum minoriti yang selama ini telahpun dilayan sebagai rakyat kelas kedua kini akan terus dipinggirkan dengan lebih teruk lagi,” katanya.

Undang-undang tersebut katanya secara unilateral mengisytiharkan “seluruh kota Baitulmaqdis” (Jerusalem) sebagai ibu kota negara Israel.

“Tindakan ini bukan sahaja bercanggah dengan segala konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengiktirafkan negara Palestin, malah melanggar prinsip keamanan dan kemanusiaan yang begitu penting untuk mengembalikan kestabilan di rantau tersebut,” ujar beliau.

Tegasnya, DAP sentiasa berpegang kepada prinsip kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan akan tetap menentang segala bentuk kezaliman dan perkauman tidak kira di Malaysia atau di mana-mana sahaja di dunia.

“Justeru, kami menyeru kepada masyarakat antarabangsa untuk bersatu memberi tekanan kepada Israel agar memansuhkan undang-undang zalim dan bersifat perkauman tersebut serta memberi layanan yang saksama kepada kaum minoriti di negara itu,” katanya lagi. – Roketkini.com