Berita

Kerajaan perlu tingkatkan operasi banteras gejala judi haram – Wong Shu Qi

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi menggesa kerajaan meningkatkan operasi membanteras aktiviti perjudian haram dan melaksanakan kempen kesedaran terhadap kesan negatif aktiviti perjudian di kalangan masyarakat Malaysia.

Menurutnya, apa yang membimbangkan, gejala perjudian haram semakin berleluasa walaupun kerajaan membenarkan aktiviti perjudian yang sah dan terkawal.  

“Fenomena perjudian haram atau kedai mesin kuda ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita tidak mengubah sikap orang awam terhadap aktiviti perjudian.

“Tabiat berjudi adalah sama dengan tabiat menagih dadah; mereka yang ketagih memerlukan perhatian masyarakat, diberi kaunseling, dan aktiviti alternatif yang lebih sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan usul menjunjung kasih Yang Di Pertuan Agong di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, walaupun fenomena lambakan kedai judi haram telah lama dibahaskan, namun sindiket tersebut masih berani menjalankan aktiviti mereka seolah-olah ‘kebal’ daripada undang-undang.

“Dasar rejim lama yang mengutip cukai judi sebagai pendapatan yang sama dengan cukai lain tidak mampu untuk membendung aktiviti perjudian, malah secara tidak langsung akan menggalakkan tabiat berjudi. Mengapa tidak? Lebih ramai orang berjudi, lebih banyak cukai dikutip, lebih tinggi pendapatan yang diperoleh.

“Justeru, saya ingin menyeru kepada Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengasingkan cukai perjudian daripada cukai biasa. Kerajaan tidak sepatutnya melihat judi sebagai sumber pendapatan,” tegasnya.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan menghentikan semua cabutan-cabutan khas serta merta kerana ia jelas merupakan satu bentuk galakkan oleh kerajaan menambah aktiviti perjudian.

“Mengapa perlu cabutan khas sedangkan syarikat-syarikat loteri pada masa kini sudah mempunyai cabutan tetap?” soalnya. – Roketkini.com