Rencana

Pernikahan bukan ‘alat’ zalimi kanak-kanak

Minggu lepas, saya telah menghadiri jemputan Feminine Magazine bagi membincangkan isu yang mendapat perhatian serius orang ramai, iaitu perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dengan seorang lelaki dewasa berumur 40 tahun.

Selepas itu, saya terbaca kenyataan terbaru Che Abdul Karim, lelaki berusia 40 tahun yang mengahwini kanak-kanak tersebut.

Emosi saya amat terganggu apabila Che Abdul Karim mengatakan dia tidak akan melepaskan isterinya yang masih kanak-kanak dan hanya berusia 11 tahun itu. Lebih memualkan, tanpa rasa segan dan bersalah dia mengakui telah  memasang niat untuk mengahwini kanak-kanak tersebut sejak kanak-kanak perempuan itu berumur 7 tahun.

7 tahun?!

Sejak kanak-kanak tersebut berusia 7 tahun, Che Abdul Karim ini sudah ada  keinginan untuk mengahwini seorang kanak-kanak! Sejak kanak-kanak itu berusia 7 tahun, Che Abdul Karim sudah ada perasaan ingin memperisterikan kanak-kanak yang sudah pasti seusia anaknya! Apa lagi yang boleh menidakkan ciri pedofil seorang lelaki bernama Che Abdul Karim  yang sudah mempunyai isteri dan menjadi bapa? Apa rasanya menjadi anak kepada seorang bapa yang ada keinginan terhadap rakan seusia kita di umur 7 tahun?

Berapa ramai lagi Doktor, Ustaz, Timbalan Menteri Besar lagi yang mahu keluar mempertahankan tindakan Che Abdul Karim, yang mahu memejam mata sisi pedofil seorang lelaki yang ingin memperisterikan seorang kanak-kanak?

Dan adakah kita sebagai wakil rakyat masih mempunyai alasan untuk menolak tanggungjawab bagi memperjuangkan penggubalan undang-undang untuk menetapkan 18 tahun sebagai had umur minimum perkahwinan?

Saya begitu terkilan apabila sesetengah pihak cuba menjustifikasikan perkara ini secara ringkas, mengatakan Islam membenarkan kanak-kanak bawah umur berkahwin dengan kebenaran walinya (bapanya).

Saya bertambah jijik apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah keluar memberi kenyataan bahawa isu ini tidak perlu diambil berat, malah, isu LGBT dan persetubuhan haram adalah lebih besar berbanding perkahwinan bawah umur.

Adakah Datuk Mohd Amar bermaksud dia hanya berminat menyelesaikan masalah LGBT dan zina, walaupun kanak-kanak kita terdedah kepada kecenderungan diabaikan tanpa pembelaan? Adakah ini juga bermaksud Datuk Mohd Amar bersetuju dengan kecenderungan seksual orang dewasa terhadap kanak-kanak? Adakah ini bermaksud Datuk Mohd Amar bersetuju menghalalkan kejijikan pedofilia melalui ikatan perkahwinan?

Kenyataan sebegitu tidak boleh diterima, malah bertambah parah apabila dikeluarkan oleh seorang wakil rakyat yang sepatutnya membela nasib rakyat. Ini seolah-olah memberitahu rakyat Malaysia bahawa masalah pedofil yang dihalalkan melalui perkahwinan ini tidak serius dan tidak perlu diambil berat. Seolah-olah, ibu bapa, tak mengapa kahwinkan sahaja anak bawah umur anda asalkan masalah keluarga, masalah kewangan selesai. Gadaikan sahaja nasib dan masa depan anak-anak, dan tak mengapa anak-anak menjadi mangsa asalkan masalah orang dewasa selesai.

Mereka yang mengeluarkan kenyataan sebegini tidak mempunyai sedikitpun perasaan simpati dan empati kepada nasib kanak-kanak yang telah dicabuli hak ini. Pada usia sebegitu muda, kanak-kanak seharusnya diberi ruang untuk mendapatkan pendidikan yang baik, berkawan, bermain dan diajar tentang nilai-nilai kehidupan. Semestinya, bukannya berkahwin.

Pada mereka yang menyokong Che Abdul Karim, adakah mereka ini merasakan seorang budak perempuan yang berumur 11 tahun mempunyai keupayaan  untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dan kemudian seorang ibu?

Adakah kanak-kanak ini mampu dan matang untuk memberi perhatian kepada rumah tangga? Mampukah kanak-kanak ini menyeimbangkan penderitaan mental dan emosi sebagai seorang isteri yang hanya berusia 11 tahun?

Mampukah dia menjadi seorang ibu yang baik dan bertanggungjawab? Dan sekiranya berlaku sesuatu terhadap dirinya, seperti kes keganasan rumah tangga, tidak diberi nafkah, penceraian dan sebagainya, adakah kanak-kanak perempuan ini cukup bijak tentang hak dirinya dan bagaimana untuk memperjuangkan haknya? Juga, sekiranya ini berlaku, adakah mereka masih boleh mempercayai ibubapa yang telah “menjual” mereka?

Dari segi kesihatan pula, budak perempuan ini akan mengalami risiko kematian semasa melahirkan bayi kerana tubuh mereka masih tidak cukup kuat dan bersedia seperti orang dewasa. Sekiranya ini terjadi, adakah kita akan mencuci tangan dengan mengatakan ianya ketentuan Ilahi?

Sekiranya ditakdirkan kanak-kanak ini mengandung, adakah kita benar-benar sanggup melihat budak perempuan ini membawa perut yang memboyot ke sana ke mari dengan tubuh sekecil itu? Bagaimana pula dengan segi emosi dan mentalnya? Apakah perasaanya sekiranya dia mendapat pandangan sinis dan ejekan kawan-kawan yang melihat budak perempuan ini mengandung?

Juga, pernahkah kita memikirkan masa hadapan budak perempuan ini? Kebanyakan kanak-kanak yang kahwin awal terpaksa meninggalkan sekolah pada usia muda akibat pelbagai halangan.

Sebagai contoh, sekiranya budak perempuan itu mengandung, ataupun perlu menjadi suri rumah dan menjaga anak. pernahkah kita mengambil berat tentang masa hadapan budak perempuan ini, yang bakal diberhentikan sekolah awal? Sedangkan pada usianya, dia berhak mendapatkan pendidikan. Apakah kita mahu menjadi orang dewasa yang berpeluk tubuh dan membiarkan kanak-kanak ini tidak terbela?

Secara keseluruhannya, masalah-masalah ini juga akan menimbulkan isu masyarakat dan ekonomi. Bayangkan tenaga kerja yang sepatutnya disumbangkan pada negara kita ini tiba-tiba menghilang disebabkan kanak-kanak yang kahwin awal ini tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya.

Akhirnya, mereka tidak mampu keluar bekerja dengan masyarakat kerana tidak mempunyai sijil pelajaran yang layak. Dan sekiranya berlaku penceraian, bagaimana kanak-kanak yang tidak mempunyai keupayaan pendidikan yang baik ini mampu membela nasibnya sendiri kelak? Adakah boleh diharapkan lagi ibu bapa yang gagal melindunginya sewaktu dia kecil dahulu?

Ini semua tidak boleh dipandang rendah. Pada masa ini, perkahwinan 16 tahun bagi umat Islam memerlukan kebenaran bertulis daripada Hakim Mahkamah Syariah dan jika tidak, merupakan satu kesalahan. Namun, adakah ini cukup untuk menlindungi kanak-kanak kita? Merujuk pada kes Che Abdul Karim, dia hanya didenda RM 1,800 kerana berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran. Ini jelas membuktikan kita tidak mempunyai undang-undang yang kukuh bagi menghalang perkahwinan kanak-kanak.

Hubungan seks melibatkan seorang wanita di bawah usia 16 tahun adalah satu jenayah statutory rape samada ianya secara paksa atau rela. Tetapi undang-undang Malaysia tidak mengiktiraf kesalahan rogol dalam perkahwinan, melainkan sekiranya ianya merupakan sebuah kes di bawah akta keganasan rumah tangga.

Amat mengecewakan, hubungan seksual antara lelaki dewasa dengan kanak-kanak bawah umur tidak boleh disabitkan sebagai satu kesalahan jenayah kerana telah dicuci kesalahan jenayah tersebut melalui perkahwinan meskipun kanak-kanak itu tidak rela dengan situasi tersebut/ tidak faham/ tidak tahu tentang hubungan kelamin suami isteri.

Sedangkan sekiranya ianya bukanlah satu perkahwinan, ianya dianggap satu jenayah rogol dan lelaki dewasa ini dikategorikan sebagai seorang pedofil, mempunyai kecendurangan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur. Yang mana kesalahan kecendurangan seksual terhadap kanak-kanak ini dilindungi di bawah akta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017.

Isu ini amat merunsingkan terutamanya jika kita melihat di kawasan-kawasan luar bandar, perkahwinan kanak-kanak sudah bukan sesuatu yang asing. Apakah nasib kanak-kanak luar bandar ini harus terus didiskriminasi dan dipandang mudah hanya kerana mereka dari keluarga yang susah dan tidak memberi kepentingan politik?

Usia muda sebagai kanak-kanak sepatutnya digunakan sebaiknya untuk pendidikan dan mempelajari ilmu kehidupan dan kemanusiaan.

Jangan pelik jika suatu hari nanti generasi akan datang hilang sifat kemanusiaan kerana kegagalan kita melindungi dan membela mereka sebagai manusia yang masih kecil dan perlu dilindungi.

Perkahwinan merupakan ikatan suci tidak sepatutnya menjadi ‘alat’ bagi mana-mana lelaki dewasa untuk menghalalkan dan mencuci dosa/kesalahan rogol dan kecendurangan pedofilia ini. pedofil adalah jenayah dan lelaki dewasa tidak sepatutnya dibenarkan menggunakan agama untuk menghalalkan jenayah pedofilia. Jangan ambil kesempatan ke atas kelemahan kanak-kanak, mereka untuk dilindungi dan bukan diperlakukan sesuka hati. Jangan kita jadi orang dewasa yang zalim! – Roketkini.com

*Jamaliah Jamaluddin merupakan Ahli Dewan Negeri (Adun) Bandar Utama