Wawancara

Secawan lagi teh tarik bersama Steven Sim

“Nak jadi menteri, tak boleh belajar di sekolah,” kata Steven Sim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang sehingga semalam pun masih belum hilang terkejut dengan semua yang berlaku sejak 9 Mei lalu.

Setelah duduk bersembang panjang di Parlimen semalam, saya keluarkan telefon dan mula merakam perbualan selanjutnya. Teringin juga mahu tahu apa perasaannya setelah dilantik menjadi menteri.

Kali terakhir saya duduk bertemubual panjang dengan Steven, bulan Jun 2013. Ketika itu beliau baru sebulan jadi Ahli Parlimen Bukit Mertajam. Wawancara itu masih boleh dibaca di sini: https://www.roketkini.com/2013/06/07/sepinggan-mee-di-tepi-pantai-bersama-steven-sim-bahagian-1/

“Tak ada format atau buku teks yang mengajar kita bagaimana untuk menjadi menteri.

“Memang kena belajar sambil bekerja, tiada sesiapa dalam DAP untuk dijadikan rujukan. Kita tidak pernah ada pemimpin yang menjadi menteri,” katanya.

Pun begitu, bukanlah janggal sangat sebenarnya memandangkan DAP sudah memimpin kerajaan negeri Pulau Pinang sejak 2008. Steven pula pernah menjadi pegawai khas exco belia dan sukan pada ketika itu. Sepuluh tahun kemudian, beliau beranjak ke peringkat pusat; jadi timbalan menteri pula.

“Rupa-rupanya hebat juga kuasa jadi menteri ni,” ujarnya memulakan cerita bagaimana pada hari pertama masuk ke pejabat, beliau ada berbisik bagaimana warna pejabat itu tidak kena dengan jiwanya. Terlalu biru katanya.

“Dengan tidak semena-mena, dua pegawai senior masuk dan bertanya kalau saya mahu ubahsuai pejabat. Perkara itu langsung tak terlintas di fikiran saya. Kalau ya pun mungkin saya tukar warna dinding sahaja.

“Tetapi saja suka-suka untuk menguji apa sempadan perbelanjaan seperti kebiasaan sebelum ini, saya tanya berapa peruntukan yang ada kalau saya mahu ubahsuai pejabat. Mereka sekadar senyum kambing dan hampir berbisik kepada saya bahawa tidak ada had peruntukan. Saya tergamam,” katanya ketawa besar.

Mujurlah kerajaan bertukar tangan. Sekiranya ditakdirkan United Malays National Organisation terus berkuasa, entah apa bala yang menimpa rakyat Malaysia dengan budaya bermewah dan berbelanja sakan ini.

“Saya pasti sebenarnya bukanlah langsung tidak ada had. Tetapi apa yang saya mahu tekankan ialah, keadaan inilah yang memudahkan seseorang menjadi korup dan menyalahgunakan kuasa,” tambahnya.

Menurutnya lagi, perlu ada lebih banyak sistem semak imbang diwujudkan dalam mekanisme kerajaan; termasuk cadangan penempatan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di dalam kementerian sendiri yang melapor terus ke ibu pejabat SPRM sebagai mekanisme pemantau sepanjang masa bagi memastikan ketelusan dan integriti jabatan kerajaan terjamin. Kedua-dua beliau dan menteri KBS, Syed Saddiq sama sefikrah dalam hal ini.

Pun begitu kata Steven, bukanlah bermakna penjawat awam itu semuanya cenderung korup dan harus dipantau sepanjang masa.

“Apa yang saya sedari, penjawat awam di peringkat kementerian adalah sangat berkebolehan, sangat bagus, malah boleh bercakap dalam pelbagai bahasa, mereka tahu betul bidang tugas masing-masing dan maklumat tentang tugas mereka bagai berada di hujung jari.

“Jadi bagi saya masalah sebenarnya bukanlah soal penjawat awam itu sendiri tetapi soal ‘governance’, pengurusan. Di sini lah, bagi saya hadirnya tanggungjawab menteri untuk memastikan wujudnya tataurus-tadbir yang baik bagi menghindar salahguna kuasa, rasuah, dan berbelanja sakan.

“Bagi saya ini merupakan cabaran utama, berbanding upaya mewujudkan program-program dan idea baru.”

Ketimbang obsesi orang ramai tentang program baru dan bertanya apa yang akan kerajaan baharu lakukan untuk bidang masing-masing, Steven berpendapat bahawa apa yang lebih penting ialah memastikan pengurusan bobrok pada zaman pemerintahan Barisan Nasional diubati terlebih dahulu.

“Contohnya kalau saya berikan peruntukan satu ringgit kepada seorang ahli sukan, bagaimana kita boleh pastikan keseluruhan satu ringgit itu diterima oleh ahli sukan itu.

“Bukan (seperti dulu) apabila diberi peruntukan seringgit, 20 sen dapat kepada A, 20 sen lagi kepada B dan seterusnya; akhirnya atlet negara hanya dapat 10 sen daripada keseluruhan peruntukan yang sepatutnya diterima.

“Apabila sistem ini sudah ada, kemudian barulah kita boleh bercakap tentang program yang lebih berkesan,” tegasnya.

Bersambung… – Roketkini.com