Wawancara

Lima minit bersama Hannah

Selain bicara panjangnya tentang isu pernikahan bawah umur yang disiarkan semalam, kami sempat bertanya beberapa soalan lain kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sdri Hannah Yeoh.

Adakah lebih seronok menjadi pembangkang sebenarnya?

Pastinya lebih seronok. Tapi kan, saya tak pernah merasa menjadi pembangkang. Pada tahun 2008 kita menang dan membentuk kerajaan negeri Selangor, sepuluh tahun kemudian, kita menang besar dan juga membentuk kerajaan.

Bagi saya ini satu proses yang biasa bagi saya – melalui proses transisi kuasa. Kerana itulah yang kita hadapi pada tahun 2008. Dua tahun pertama itu, bagi saya, tidak akan begitu lancar perjalanannya. Ini kerana kita akan harus memujuk penjawat awam untuk mengikut rentak perubahan dalam kerajaan baharu.

Kabinet baharu ini juga akan berhadapan cabaran untuk memahami skop kuasa serta memahami program-program sedia ada dan masalah-masalah yang hadir bersama dengannya. Apabila itu sudah selesai, barulah kita boleh teruskan dengan proses penambahbaikan.

Berapa lama negara akan harus menunggu?

Berdasarkan pengalaman di Selangor, bekerja dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan kerajaan negeri ketika itu, kita mengambil masa dua tahun untuk membiasakan diri. Tapi ya lah, saya menyertai kerajaan sebagai orang baru yang tidak tahu apa-apa. Orang seperti Tun Dr Mahathir pastinya sudah mempunyai pengalaman; begitu juga dengan Lim Guan Eng dan Datuk Seri Azmin Ali.

Tidak dinafikan, memang agak menakutkan bagi saya. Pertama kali menyalakan mikrofon di Dewan Rakyat adalah untuk menjawab soalan. Saya tidak ada tempoh bertenang untuk bercakap dan memberi sepatah dua kata, orang mahu kita jawab soalan dengan maklumat yang tepat. Soalan-soalan tambahan juga ditanya dalam tempoh para menteri baru dalam proses memahami kementerian masing-masing.

Sekarang dah tak boleh hentam-hentam lagi kan?

Bukan tak boleh hentam. Bagi saya harus ada keseimbangan. Adalah penting untuk menyorot kesilapan-kesilapan pentadbiran dahulu; namun kita juga harus menyedari bahawa kita sekarang berada dalam posisi untuk membaiki kesilapan-kesilapan tersebut.

Jadi untuk menghentam kerajaan lama tanpa mengemukakan cadangan pembaikan hanyalah akan dilihat sebagai usaha ‘politicking’. Tetapi kalau kita mengkritik dan menghentam kerajaan lama dan menunjukkan jalan ‘oh kita akan buat begini, ini caranya untuk memperbaiki keadaan’ saya rasa itu konstruktif.

‘Hentam yang konstruktif’, sangat menarik. Bagaimana perasaan menjadi anggota kerajaan?

Baru tiga minggu ya kami angkat sumpah. Tapi ya lah, bagi saya; portofolio yang saya terima ini adalah sesuatu yang memang sudah lama saya inginkan. Bukanlah jawatan timbalan menteri itu, tetapi tugasan untuk memelihara kepentingan kanak-kanak dan bekerja dengan mereka.

Saya sangat gembira kerana sebagai seorang ibu, saya punya naluri yang kuat dengan kes-kes yang sedang dihadapi di bawah kementerian sekarang. Pun begitu, saya juga masih sedang cuba memahami skop kuasa serta sejauh mana hadnya.

Apa yang kita usahakan sekarang boleh dikira sebagai ‘software’ yang harus dilaksanakan di setiap peringkat. Contohnya bagi setiap kes penderaan seksual, ada trauma dan kaunseling yang bermakna pegawai-pegawai kementerian juga harus dilatih. Jadi perkara begini tidak terjadi dalam sekelip mata.

Apa pandangan dan harapan untuk kerajaan ini?

Kita sudah mengambil masa yang agak lama. Dari tempoh 100 hari, lebih dua bulan digunakan untuk menyelesaikan pelantikan jemaah menteri. Dan kini ada kementerian-kementerian baru untuk menangani janji-janji 100 hari itu.

Saya rasa selagi wujud semak imbang, terutamanya dalam koalisi politik (Pakatan Harapan); terutamanya jika kita lihat bagaimana bilangan kerusi tidak mempengaruhi bilangan jawatan yang diterima dalam kabinet. Representasi yang agak sekata dalam kalangan empat parti menjamin semak imbang yang baik.

Lebih menarik lagi, kita kini melihat Barisan Nasional terpecah dan ada parti-parti komponennya yang telah meninggalkan koalisi itu dan mewujudkan lebih banyak semak imbang di Dewan Rakyat. Ini sesuatu yang amat baru bagi Malaysia.

Selagi kita ikhlas dan komited terhadap perjuangan dan mendengar suara rakyat serta tidak asyik menafikan dan mendepani masalah serta kritikan, kita akan okay. Kalau tidak jumpa penyelesaian kepada sesuatu masalah, akui bahawa tidak jumpa jalan, dan kita cari jalan bersama-sama. – Roketkini.com

Kredit foto: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat