Wawancara

Masa untuk menghentam sudah habis – Steven Sim

Sebenarnya memang lebih seronok menjadi pembangkang. Tanyalah wakil-wakil rakyat United Malays National Organisation di Parlimen. Menjadi pembangkang memang aktiviti yang rancak jika dibanding dengan zaman mereka menjadi kerajaan dahulu.

Malah jelas kelihatan bagaimana wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan yang puluhan tahun terbiasa sebagai pembangkang, menjadi sedikit canggung apabila duduk di blok kerajaan. Ramai yang masih belum boleh meninggalkan tabiat pembangkang yang kerjanya asyik menghentam.

Namun bagi Steven Sim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan; menjadi kerajaan adalah peluang untuk merealisasikan segala yang telah menjadi bahan hentaman ketika berada di blok pembangkang dahulu.

“Sekarang saya boleh laksanakan semua hal yang saya hentam dulu. Contohnya apabila kita bercakap tentang tender terbuka.

“Dahulu kita sering menyalahkan kerajaan BN tentang ketidaktelusan pengurusan dana negara dan pemberian tender. Kalau saya tidak berada dalam kerajaan, saya hanya boleh terus hentam. Tetapi sekarang saya dan menteri boleh memberi arahan kepada kementerian untuk melaksanakan tender terbuka bagi kesemua perolehan,” katanya sambil mengunyah goreng pisang.

Tender terbuka adalah antara amalan kerajaan negeri Pulau Pinang sejak ia bertukar tangan pada tahun 2008. Penjimatan hasil daripada amalan tersebut dijenamakan sebagai dividen anti rasuah oleh mantan ketua menteri Lim Guan Eng, dan disalurkan kepada rakyat melalui program-program bayaran tunai untuk golongan yang memerlukan.

“Ini sebabnya kenapa kita bekerja dalam politik. Kita mahu menang dan kemenangan itu bukan untuk mendapatkan kuasa semata-mata. Tetapi lebih penting lagi untuk melaksanakan program-program yang baik,” ujarnya.

Pun begitu, Steven mengakui bahawa keadaan sudah jauh berbeza dan kebebasannya sudah sedikit terhad. Ada acara antarabangsa yang tidak dapat beliau hadiri kerana menyedari beliau kini membawa kapasiti besar sebagai wakil kerajaan Malaysia.

Ke mana beliau pergi, apa yang beliau sebut, semuanya sudah perlu pertimbangan tambahan sekarang. Sebagai pembangkang katanya, ada lebih banyak kebebasan untuk memberi pendapat dan buah fikiran. Sebaliknya apabila menyertai pentadbiran negara, apa sahaja yang disebut boleh menjadi buah mulut nasional.

“Apa yang ditulis di twitter pun tiba-tiba boleh jadi berita. Dulu waktu jadi pembangkang, tak ada siapa peduli.”

Beliau mengenang kembali zaman berbahas di blok pembangkang dan seronok bangkit mencelah serta mengkritik. Namun kini, sedikit sendu barangkali menteri muda ini apabila hanya boleh duduk sahaja dan terhalang daripada ikut serta dalam perdebatan sehingga tiba gilirannya berucap.

Steven malah terpaksa membatalkan niatnya untuk ikut serta sebuah persidangan antarabangsa yang menjemputnya sebelum beliau dilantik sebagai menteri. Pastilah berbeza implikasinya berbanding kalau beliau hadir hanya sebagai anggota Dewan Rakyat biasa.

“Orang memberi tumpuan, dan saya kini mewakili negara serta kerajaan. Semua tindakan mempunyai implikasi masing-masing. Dan jujurnya, kami masih belum biasa dengan semua ini. Kami masih berusaha memahami protokol dan sebagainya.

“Kita tidak mahu membawa malu kepada negara,” tambah anak jati Bukit Mertajam ini yang tidak menyangka dirinya akan dilantik menjadi timbalan menteri.

Steven juga bakal menerbitkan sebuah buku berjudul ‘Dalam Salju Ada Bunga’ yang menghimpunkan beberapa puisi berbahasa Melayu yang ditulisnya sendiri, serta ulasan panjang berdasarkan setiap satu puisi itu. – Roketkini.com

Baca bahagian pertama, ‘Secawan lagi teh tarik bersama Steven Sim’ https://www.roketkini.com/2018/07/26/secawan-lagi-teh-tarik-bersama-steven-sim/

*Kredit foto: Kementerian Belia & Sukan