Berita

Pembalakan, penerokaan tanah tidak terkawal punca gangguan air di Raub

Aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah secara haram yang berleluasa di Raub merupakan antara punca berlakunya gangguan bekalan air di daerah itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tras, Chow Yu Hui.

Kegiatan tersebut jelasnya menyebabkan Loji Rawatan Sungai Bilut terpaksa ditutup akibat masalah kekeruhan air sehingga menjejaskan yang membekalkan air ke daerah berkenaan.

“Masalah bekalan air berlaku kerana penutupan akibat kekeruhan air mentah yang tinggi iaitu 1000 NTU (Nephelometric Turbidity Units), khususnya setiap kali selepas hujan lebat.

“Pada hujung bulan May, pernah kekeruhan air pernah mencecah 7,000 NTU, ini telah menunjukkan betapa serius masalah gangguan air ini,” katanya.

Perkara ini sekaligus telah menjejaskan aktiviti harian penduduk sehingga ada yang terpaksa menggunakan air hujan sekiranya bekalan air terputus berhari-hari.

Katanya, walaupun sering dibangkitan dalam sidang DUN dan dilaporkan media, malah tersebut masih berterusan tanpa oenyelesaian tuntas.

“Berdasarkan Pengurusan Air Pahang (Paip), Daerah Raub hanya mempunyai dua lori tangki, manakala setiap kali penutupan loji rawatan Sungai Bilut akan menyebabkan gangguan air kepada lebih daripada 7600 akaun.

“Dua lori tangki memang tidak mencukupi untuk menyelesaikan gangguan air penduduk Raub, saya harap PAIP boleh tambah lori tangki atau pinjam lori tangki dari daerah lain semasa menghadapi penutupan loji air.

“Saya mencadangkan supaya dua pendekatan diwujudkan iaitu untuk jangka masa pendek dan panjang.

“Penyelesaian jangka masa pendek dapat dilakukan dengan menambah dan menyediakan lori tangki khususnya di kawasan kritikal supaya penduduk memperolehi bekalan air secukupnya,” kata Chow.

Bagi penyelesaian jangka panjang, beliau berharap agar empangan Sabodam yang telah menelan belanja sebanyak RM5 juta dan hampir siap boleh beroperasi secepat mungkin.

Selain itu, kempen kesedaran juga perlu dijalankan kepada petani-petani di bahagian hulu sungai supaya mengikuti SOP bagi tanaman mereka dengan jarak zon penampan dari sungai.

“Aktiviti-aktiviti haram perlu diambil tindakan oleh PBT supaya punca air penduduk Raub boleh dilindungi dan bukan dikorbankan kerana kepentingan segelintir orang,” katanya lagi. – Roketkini.com