Berita

Percepatkan pewartaan tanah rizab Orang Asli – Chiong Yoke Kong

Masalah ekonomi dan tanah adat masyarakat Orang Asli di Pahang mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata Chiong Yoke Kong.

Menurutnya, masyarakat Orang Asli telah lama dibelenggu masalah Tanah Adat sejak kemerdekaan walaupun membentuk sebahagian daripada anggota masyarakat Malaysia lebih 61 tahun lalu.

Tambahan pula pembangunan yang dijalankan oleh pihak kerajaan mahu pun swasta di kawasan tanah adat katanya seringkali menimbulkan konflik sehingga menyebabkan Orang Asli yang terlibat kehilangan tempat tinggal dan kawasan pencarian hasil hutan untuk menyara kehidupan.

“Masyarakat Orang Asli masih belum dapat merasa nikmat kemajuan yang telah dicapai oleh Negara.

“Masalah tanah yang wujud telah menyukarkan usaha untuk membangunkan dan memajukan sosioekonomi masyarakat Orang Asli kerana aspek-aspek kehidupan masyarakat Orang Asli amat berkait rapat dengan tanah dan ekologi persekitaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam DUN Pahang baru-baru ini.

Menurutnya, sehingga kini terdapat kira-kira 8,000 penduduk Orang Asli mendiami Cameron Highlands.

“Sepertimana yang dibangkitkan oleh Pemangku Raja Pahang dalam Titah Baginda, diharapkan usaha dan langkah mewartakan tanah rezab Orang Asli dapat dipercepatkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Tambahnya, kepentingan masyarakat Orang Asli tidak harus diabaikan dalam arus pembangunan oleh Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, beliau turut membangkitkan tentang keperluan mewujudkan sistem daftar rekod dan dokumen lesen pendudukan sementara secara elektronik eTOL. – Roketkini.com