Berita

Rara bawa keresahan rakyat terhadap pembalakan di Janda Baik

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman atau Rara menggesa kerajaan Negeri Pahang agar menjalankan pemantauan ketat berhubung dakwaan pembalakan komersil melibatkan projek Pembinaan Talian Penghantaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bentong South-Lenggeng.

Tegasnya, perkara itu penting bagi memastikan ia tidak memberi kesan buruk kerosakan hutan dan sekitar.

“Projek ini berlaku di kawasan Janda Baik dan melibatkan kawasan hutan dara dan beberapa sungai utama di kawasan Janda Baik.

“Saya dan pihak penduduk yang membantah faham bahawa projek ini adalah penting dan berdasarkan agenda nasional,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam sesi Dewan Undangan Negeri Pahang baru-baru ini.

Beliau turut membangkitkan persoalan tentang tempoh lesen kontraktor yang terlibat apabila  tempoh lesen yang tertera di papan tanda kongsi menyatakan tarikh 1/9/2017 sehingga 28/2/2018 yang telah diubah kepada 01/09/2018 hingga 31/12/2018.

“Ini saya boleh tunjukkan gambar sebelum dan selepas. Apa yang sebenarnya terjadi di sini? Patutnya tempoh lesen sudah berakhir atau belum bermula?” soalnya.

Prosedur pemotongan balak juga menimbulkan keraguan apabila didapati balak tersebut hanya ditandakan selepas dipotong.

Menurut Rara, jika benar proses pembalakan bukan bersifat komersil seperti yang diterangkan oleh Exco dan Pengarah Jabatan Perhutanan, peraturan pembalakan perlulah turut dipatuhi.

Menurutnya, setiap pokok yang ingin ditebang perlu mendapat persetujuan Jabatan Perhutanan dan ditanda merah sebelum kerja-kerja penebangan.

“Jika ditebang sewenangnya, dan hanya ditanda kemudian, pembalak hanya perlu membayar denda sahaja untuk yang bertanda biru iaitu yang disalah potong,” katanya.

“Saya berharap segala peraturan dan SOP, dengan izin, yang telah ditetapkan dalam perlaksanaan projek ini dipatuhi dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Selain itu, Rara turut membangkitkan beberapa isu lain seperti masalah bekalan air,  kadar kemiskinan di Pahang, isu perkahwinan kanak-kanak dan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri. – Roketkini.com