Berita

DAP tubuh cawangan sulong di Putrajaya

Pasca Pilihanraya Umum ke-14, DAP menerima banyak permohonan keahlian selain usaha menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh negara. Namun pastinya, tiada yang lebih istimewa berbanding penubuhan cawangan sulong di Putrajaya.

Majlis dialog ringkas tengah hari tadi menyaksikan penyerahan borang keahlian lebih 50 anggota, serta permohonan penubuhan cawangan di kawasan tersebut yang diterima Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Cheras berkata, penubuhan cawangan DAP Putrajaya adalah penanda aras baharu dalam sejarah perjuangan parti sejak ia ditubuhkan pada tahun 1966.

Borang permohonan keahlian diserahkan pengerusi jawatankuasa penaja DAP Putrajaya, Datuk Syed Mohamad Nor; disaksikan Bendahari Kebangsaan, Fong Kui Lun serta Ahli Parlimen Kepong merangkap Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng dan Vincent Wu, Setiausaha Biro Organisasi Kebangsaan.

DAP kini mempunyai cawangan di kesemua negeri dan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan. – Roketkini.com