Berita

Kerajaan Kelantan digesa iktiraf tanah adat Orang Asli

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto hari ini membangkitkan persoalan siapakah dalang di sebalik aksi ganas ‘samseng’ yang bertindak sesuka hati meroboh hadangan dan pondok milik masyarakat Orang Asli Temiar di Gua Musang baru-baru ini.

“Bagaimana mungkin syarikat swasta ini berkelakuan seolah-olah kebal? Bagaimana mereka ini boleh bertindak sesuka hati? Adakah wujud tangan ghaib yang terlibat sama bersekongkol dengan pihak syarikat tersebut?” soalnya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas kekecohan yang berlaku ekoran tindakan samseng yang dipercayai daripada syarikat perladangan Durian Musang King merobohkan hadangan kira-kira pada jam 6 petang kelmarin.

Lebih dikesalkan, tindakan tersebut berlaku dua hari selepas jaringan Orang Asli kawasan tersebut menerima kunjungan Timbalan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) membincangkan penyelesaian hak tanah dan keselamatan komuniti di situ.

Tegas Kasthuri Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS perlu mengiktiraf, melindungi dan mempertahankan tanah adat yang didiami Masyarakat Orang Asli dan bukannya memberi kuasa kepada syarikat swasta untuk menceroboh atas alasan meningkatkan pendapatan negeri.

“Bagi menghentikan konfrontasi pihak-pihak syarikat dan masyarakat Orang Asli, kerajaan negeri perlu mengiktiraf hak masyarakat Temiar di sini sebagai penempatan mereka dan mengamalkan adat istiadat mereka tanpa sebarang halangan.

“Kerajaan negeri juga perlu mengkaji semula semua kontrak dan kelulusan yang diberikan kepada pihak swasta serta melarang semua bentuk pembalakan di rizab hutan yang didiami masyarakat Orang Asli,” katanya lagi. – Roketkini.com

Terkini : Blockede Kaleeg, Pos Tohoi, Gua Musang.Pukul 6:30 ptg tadi, pihak syarikat ladang durian musang king, masuk ke kawasan blockade kaleeg, dan tanpa banyak soal mereka musnahkan blockade kami mengunakan chainsaw. mereka turut di bantu oleh beberapa orng melayu dari kuala betis. Selepas mereka musnahkan blockade, mereka masuk dan menuju ke ladang durian musang king.Ketika kejadian kami org kampung sedang bermesyuarat. – Oleh Mustapa Along, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan.

Mia Yusriさんの投稿 2018年8月4日土曜日