Berita

Tajuddin diberi masa 24 jam tarik balik kenyataan ‘Putrajaya dikuasai Kristian’

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman digesa supaya menarik balik tuduhan jahat tidak berasas terhadap DAP dan kerajaan dalam masa 24 jam ekoran keceluparannya sewaktu berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sg Kandis baru-baru ini.

Gesaan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng ini dibuat berdasarkan dakwaan jahat pemimpin UMNO itu kononnya ‘Orang Kristian sudah mengambil alih kuasa di Putrajaya’.

“Saya menuntut Tajuddin sebagai pemimpin nasional Umno, untuk menarik balik tuduhan tidak berasas dan berniat jahat terhadap DAP dan pemimpinnya dalam masa 24 jam, atau UMNO mengambil tindakan tatatertib terhadap Tajuddin kerana menggalakkan politik bangsa dan agama berdasarkan pembohongan.

“Sekiranya Tajuddin enggan dan memilih untuk berdegil dalam menyebarkan politik pembohongan terhadap DAP, saya tidak mempunyai pilihan selain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan jenayah terhadapnya,” katanya.

Lip Eng berkata, Tajuddin seharusnya menyertakan bukti-bukti sekiranya tuduhan celupar itu ternyata mempunyai sebarang unsur kebenaran.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen kanan, Tajuddin tidak sepatutnya berbohong dan cuba menanamkan semangat kebencian antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.

Mengulas kemenangan Pakatan Harapan di Sungai Kandis, Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu berkata ia merupakan kemenangan moral kepada parti pemerintah.

Keputusan PRK DUN Sg Kandis menyaksikan calon UMNO-BN Datuk Mohd Lokman Noor Adam tewas apabila memperoleh 9,585 undi berbanding 15,427 oleh calon HARAPAN Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni

“Keputusan ini mencerminkan rakyat semakin menolak amalan politik kebencian oleh pembangkang. BN tewas di 14 daripada 19 pusat daerah mengundi di Sungai Kandis.

“Antaranya, termasuk di Kampung Jawa, di mana ucapan berbaur kebencian itu dibuat.
“Kemenangan HARAPAN pada PRK Sungai Kandis mencerminkan fakta bahawa pengundi Malaysia, khususnya orang Melayu, matang dan rasional,” katanya lagi. – Roketkini.com