Berita

Kerajaan baharu harus jaga kepentingan semua kaum – Kit Siang

Tokoh parlimen DAP Lim Kit Siang menerima kunjungan 29 sukarelawan dan kader DAP dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi Parlimen Ipoh Timur yang mengadakan lawatan bagi mengikuti perjalanan Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pertemuan itu, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkongsi pengalamannya sebagai anggota parlimen selama 49 tahun sehingga rakyat Malaysia mencipta sejarah menukar kerajaan pada 9 Mei lalu.

“Kita bukan sahaja berjaya menukar pemerintah UMNO-BN tetapi apa yang paling penting ialah menjadi kerajaan yang prihatin, bersih dan maju bersama.

“Kerajaan ini perlulah menjadi kerajaan yang mejaga kepentingan semua agama dan kaum. Saya rasa inilah harapan rakyat Malaysia supaya negara ini di pandang lebih tinggi dan bukan dihina,” katanya.

Pertemuan kali ini dilihat mencipta sejarah baru pencapaian DAP Perak apabila kesemua 29 peserta yang hadir terdiri daripada kaum Melayu.

Lebih membanggakan, mereka turut menjadi tulang belakang menggerakkan kempen pilihan raya bagi calon DAP yang bertanding di kawasan berkenaan khususnya di kawasan majoriti Melayu seperti DUN Tebing Tinggi yang diwakili oleh Dr Abdul Aziz Bari.

Ahli Parlimen Ipoh Timor Wong Kah Woh berkata, sebahagian yang hadir pada hari ini telah pun menjadi anggota parti dan ini merupakan antara kejayaan DAP hasil komitmen berterusan parti bertemu dan berkhidmat kepada segenap lapisan masyarakat.

“Persempadanan semula DUN Tebing Tinggi pada PRU14 lalu telah menyebabkan majoriti asal kawasan tersebut berubah di mana kalau sebelum ini 70 peratus pengundi Cina.

“Setelah persempadanan semula kita dapati DUN Tebing Tinggi memiliki 57 peratus pengundi Melayu. Dengan bantuan dan sokongan daripada rakan-rakan kita di Tebing Tinggi, kita mampu cipta sejarah di sana.

“DAP kita cuba reach out semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum agama dan lebih penting membuktikan merupakan parti semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Penganjur lawataan berkenaan, Steven Tiw Tee Siang berkata, lawatan ini amat bermakna kerana setelah para sukarelawan berjaya mengekalkan kemenangan DAP khususnya di DUN Tebing Tinggi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Perak berkata, pihaknya juga sedang berbincang dan merancang untuk menubuhkan cawangan baru di DUN berkenaan.

Pada PRU14, Dr Abdul Aziz Bari sebagai calon DAP DUN Tebing Tinggi berjaya memperoleh 10,334 undi menewaskan calon PAS dan BN-MCA dengan kelebihan 3,927 undi. – Roketkini.com