Berita

Cukai SST tidak membebankan seperti GST

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) merupakan sistem cukai yang kurang membebankan rakyat pada masa yang sama boleh membawa hasil kepada negara berbanding GST kata Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh.

“Walaupun pendapatan dalam bentuk hasil cukai adalah jauh lebih rendah berbanding era GST, namun adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang baik untuk memikirkan rakyat terlebih dahulu dan bukan memikirkan keselesaan pemerintah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan rang undang-undang GST dan pemansuhan GST di Parlimen hari ini.

Menurutnya, pengenalan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 dan RUU Cukai Jualan 2018 ini merupakan  manifestasi pelaksanaan janji-janji Buku HARAPAN.

“Kita sekian maklum bahawa sejak pelaksaan GST pada bulan April 2015, kehidupan rakyat telah menjadi begitu susah, dan beban hidup rakyat telah bertambah berat.

“Apabila Kerajaan membuat keputusan untuk menghapuskan GST yang membawa anggaran hasil cukai sebanyak RM44 billion setahun, sudah tentunya kita memerlukan satu hasil alternatif, dan SST sudah tentu harus dikembalikan,” jelas beliau.

Menjawab dakwaan yang sering ditimbulkan pembangkang kononnya SST akan lebih membebankan, Kah Woh berkata cukai GST bukan sahaja mengenakan cukai ke atas mereka yang berkemampuan tetapi juga golongan berpendapatan rendah.

“Ini dapat dibuktikan dengan kenyataan YB Menteri Kewangan (bahawa) 60% daripada Barang-Barangan dalam Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index Basket) terlibat dalam GST, manakala hanya 38 peratus sahaja terlibat dalam SST,” ujarnya.

Ketua DAPSY Kebangsaan itu juga turut merujuk kepada kenyataan KPMG Tax Services Sdn Bhd pada Jun lalu bahawa SST kurang membebankan pengguna.

Selain itu katanya, melalui sistem SST, peniaga tidak perlu memfailkan apa-apa tuntutan pemulangan cukai, yang bermaksud bahawa pembayaran SST kepada kerajaan adalah muktamad.

“Dalam perkara ini, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dalam paparan Policy Brief pada bulan Jun 2018 menyatakan bahawa perkara itu akan meningkatkan working capital bagi firma-firma, khasnya industry kecil dan sederhana sekaligus memudahkan perniagaan mereka,” katanya lagi. – Roketkini.com