Berita

GST dalam kenangan, tapi mana pergi baki RM18 bilion?

Perjuangan rakyat turun ke jalan raya membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak dilaksanakan pada 2015 akhirnya membuahkan hasil setelah Dewan Rakyat semalam meluluskan pemansuhan Rang Undang-Undang (RUU) cukai berkenaan.

Ia juga merupakan satu kejayaan Pakatan Harapan yang merupakan salah satu janji dalam Buku HARAPAN.

“Akhirnya, GST sudah mati,” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, di Parlimen semalam.

Katanya juga, kerajaan akan berusaha melunaskan tunggakan tuntutan cukai input bagi GST sebanyak RM19.4 bilion mulai tahun 2019.

Namun apa yang mengejutkan ialah wujudnya kekurangan RM18 bilion berdasarkan baki semasa Tabung Bayaran Balik yang hanya berjumlah RM1.49 bilion.

“Rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan daripada jumlah tunggakan itu, sebanyak RM9.2 bilion atau 47 peratus adalah bagi tahun ini; RM6.8 billion (35 peratus)2017; RM2.8 billion (15 peratus) pada 2016 dan RM600 juta (tiga peratus) pada 2015.

“Baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion. Ini menandakan ada kekurangan kira-kira RM18 bilion,” katanya.

Menurutnya, beliau terkejut apabila dimaklumkan bahawa tunggakan ini berlaku akibat kegagalan kerajaan terdahulu memasukkan kutipan GST ke dalam akaun amanah yang dikhaskan untuk melunaskan tuntutan cukai GST.

Jelasnya kelewatan pembayaran balik tuntutan itu menjejaskan persekitaran perniagaan dan memberi kesan negatif terhadap daya saing negara.

Keadaan ini sekaligus menimbulkan tanda tanya dan tamparan kepada pemimpin kerajaan BN terdahulu yang mendakwa hasil tambahan GST akan dipulangkan kepada rakyat. Soalnya sekarang di mana RM18 bilion tersebut? – Roketkini.com