Wawancara

Kedudukan Melayu Islam tak tergugat di era Malaysia Baharu

Putar belit provokasi perkauman UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akhirnya menamatkan riwayat parti itu sendiri. UMNO gagal mencongak kebijakan Melayu dan rakyat Malaysia yang memilih untuk menghumban parti itu dalam tong sampah sejarah sekitar 100 hari lalu.

Tapi UMNO tidak putus asa. Kemenangan Pakatan Harapan membenih kebangkitan puak sayap kanan yang semakin lantang mencabar perpaduan masyarakat plural negara ini.

Di saat PAS dilihat semakin jinak bersama UMNO, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman umpamanya telah membuat tohmahan jahat kononnya ‘Putrajaya dikuasai Kristian’. Akhirnya, muncul kononnya ‘hero baru UMNO’ Khairy Jamaluddin yang mengakui  partinya itu mengalami dilemma eksistensial, justeru memungkinkan sebarang tindak tanduk retorik sedemikian.

Kenapa boleh jadi begitu?

Menurut Setiausaha Politik kepada tokoh veteran DAP Lim Kit Siang, Syahredzan Johan, UMNO sedang mencari ‘tempat’ dalam kerangka Malaysia Baharu.

“Aku rasa mereka tengah cari tempat dalam Malaysia pasca PRU14. UMNO mungkin tak tahu bagaimana untuk jadi pembangkang yang bagus dan pada masa yang sama mereka ada masalah kredibiliti.

“Mereka tidak boleh bercakap tentang keterbukaan dan ‘good governance’, kerana mereka sendiri kalah PRU sebab isu-isu ini,” katanya kepada Roketkini.

Perkembangan sebegini bagaimanapun agak ‘membimbangkan’ tambahan pula dengan sikap PAS yang jelas menyebelahi UMNO pada PRK Sungai Kandis baru-baru ini.

“PAS setelah sekian lama melawan UMNO-BN, dan hanya lawan PH sejak 2015, maka mereka pun tidak tahu bagaimana hendak ‘tembak’ kerajaan baharu ini. Mereka juga gunakan isu yang memang mereka sudah biasa; isu ras dan agama.

“Aku lihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang membimbangkan. Sebab kalau dua parti pembangkang terbesar bekerjasama atas ‘dasar Melayu-Islam’, maka kita juga akan terperangkap dengan polemik sama.

“Sebab kita boleh terikut dengan rentak mereka.”

‘Kerajaan PH bodoh kalau usik hak istimewa Melayu-Islam’

Di sebalik segala macam serangan terhadap kerajaan khususnya DAP berhubung keududukan hak istimewa Melayu-Islam, Syahredzan memberikan fakta bagaimana betapa susahnya kedudukan istimewa itu diceroboh.

Jelasnya, kedudukan Melayu dan agama Islam sukar terancam kerana bukan sahaja dilindungi Perlembagaan Persekutuan malah melibatkan Raja-raja Melayu.

“Kalau ada mana-mana parti yang memerintah hendak meminda walau satu noktah pun dalam peruntukan-peruntukan berkenaan kedudukan istimewa Melayu atau Islam ini, mereka perlu dapatkan dua pertiga sokongan Ahli Parlimen, (sokongan) ahli Dewan Negara, perlu dapatkan pula persetujuan Majlis Raja-raja.

“Jadi, untuk pinda ini sebenarnya satu political suicide bagi parti politik yang nak memegang tampuk kuasa. Hanya jadi kerajaan satu penggal. Bodohlah.” jelasnya.

Tambahnya, kalaulah wujud ‘kerajaan bodoh’ sedemikian sekalipun, kedudukan istimewa Melayu – Islam tetap terpelihara melalui dua jenis perlindungan.

“Perlembagaan kita memang ada dirangka jika ada kerajaan nak buat begitu memang perlu dapatkan persetujuan Majlis Raja-raja. Di sini ada dua lapis perlindungan iaitu perlindungan politik dan dari Majlis Raja-raja sendiri.

“Ini berbeza dengan pindaan yang tidak melibatkan Melayu dan Islam. Itu Cuma perlu dua pertiga sahaja (sokongan Ahli Parlimen). Tak perlu dapat persetujuan Majlis Raja-raja,” jelas Syah.

Beliau turut mengulangi komitmen bahawa DAP tidak berniat untuk mengganggu gugat apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan berhubung kedudukan istimewa Melayu-Islam.

Kegelisahan ini katanya sengaja ditimbulkan untuk menakutkan kaum Melayu dan dapat diatasi sekiranya kerajaan menjalankan tugas dengan baik.

“Kerajaan hanya mahu tadbir Malaysia sebaik mungkin. Keadaan ini biasa dan masih ramai menangguk di air keruh.

“Kita perlu tunjukkan kepada orang Melayu bahawa kedudukan Melayu tidak akan terkurang tidak terkesan dengan perubahan kerajaan, kegusaran itu akan lenyap dan kita perlu melangkah terus kehadapan,” katanya lagi. – Roketkini.com