Berita

Tun Mahathir sahut gema suara Orang Asli Temiar di Putrajaya

Kesudian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertemu dengan wakil-wakil jaringan masyarakat Orang Asli Temiar petang ini membuka lembaran baru perjuangan menuntut pengiktirafan wilayah adat di Kelantan.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, Dr Mahathir akan mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil Orang Asli pada jam 3.30 petang ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum daripada Pengerusi Jaringan Kampung Wilayah Tanah Adat Pos Simpor Nur Mohd Syafiq Dendi diiringi 220 masyarakat Orang Asli yang terjejas akibat pemusnahan hutan melampau di kampung halaman mereka.

Penyerahan memorandum ini dibuat seminggu selepas insiden yang didakwa sebagai pencerobohan daripada sebuah syarikat perladangan durian dan keganasan samseng merobohkan blockade Kaleeg.

Menurut Dendi, tindakan ini dibuat ekoran kegagalan kerajaan Kelantan menyelesaikan masalah pencerobohan yang mengakibatkan penggondolan hutan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ekoran itu, sebanyak 17 perkampungan Orang Asli telah mengambil inisiatif membina hadangan bagi menyekat pencerobohan terhadap pihak syarikat yang didakwa menceroboh wilayah adat mereka.

“Kami datang sini untuk menuntut pengiktirafan (tanah adat) mencari penyelesaian segera. Jika tiada penyelesaian, kami tetap akan menteruskan sekatan, blockade untuk mempertahankan wilayah adat kami.

“Pencerobohan ini akibatkan penggondolan hutan, pencemaran sungai, kehilangan sumber ubatan dan makanan. Ia telah membawa akibat yang sangat negatif kepada kehidupan seharian kami,” katanya kepada media.

Nik Amar tidak bertindak

Penggondolan hutan di wilayah adat Orang Asli Gua Musang untuk pelbagai aktiviti seperti pembalakan, pertanian dan perlombongan bukanlah perkara baru dan telah dilaporkan media sejak sebelum 2016.

Ujar Dendi, walaupun pernah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Amar, tiada tindakan tuntas diambil.

Sebaliknya, kes pencerobohan dan penggondolan hutan semakin berleluasa.

“Kami pernah jumpa dengan kerajaan negeri pada 23 Julai 2013 bersama Timbalan Menteri Besar dan beliau kata akan bawa isu ini untuk mesyuarat Exco dan Dewan Undangan Negeri, tetapi sejak dari itu tidak ada tindakan atau keprihatinan kerajaan negeri Kelantan untuk menyelesaikan masalah kami,” jelasnya.

Lebih mendukacitakan katanya, kerajaan negeri masih tidak mengiktiraf tanah adat meskipun diduduki sejak turun temurun.

Penyerahan memorandum pada hari ini turut mendapat dokongan daripada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia yang diketuai Puan Sri Sharifah Sabrina Syed Akil.

Turut hadir memberi sokongan ialah Timbalan Menteri Tanah, Air & Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, wakil DAP Kelantan Mohd Fauzi Mohd Azmi, Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) diwakili Yusri Ahon dan NGO Himpunan Hijau. – Roketkini.com