Berita

SPRM, Jabatan Peguam Negara perlu siasat skandal ‘rompakan GST’ – MP Kota Melaka

Skandal pembayaran balik GST menunjukkan betapa buruknya urus tadbir pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu sebagaimana yang didedahkan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam pada 10 Ogos lalu kata Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Subromaniam dalam kenyataannya menyebut, daripada keperluan pembayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion yang telah dilaporkan, hanya RM63.5 bilion pembayaran balik GST telah dibayar melalui Tabung Amanah bagi sepanjang tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018.

Ini bermakna Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion.

“Kenyataan beliau mengesahkan bahawa wang rakyat dan peniaga-peniaga telah ‘dirompak’ dan disalahgunakan, seperti mana yang didedahkan oleh Menteri Kewangan di Parlimen pada minggu lepas.

“Perkara ini sangat serius dan merupakan suatu pecah amanah (breach of trust) oleh kerajaan yang lama kerana wang pembayaran balik bukan milik kerajaan. Ia hanya dipegang secara sementara oleh kerajaan dan perlu dikembalikan kepada peniaga,” kata Khoo dalam kenyataan.

Jelasnya, keengganan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar, untuk meluluskan pindahan wang pembayaran balik ke dalam Tabung Amanah yang dipohon oleh Kastam menyebabkan para peniaga terlambat atau tidak langsung menerima pembayaran balik berjumlah RM19.4 bilion.

“Ini boleh disahkan oleh saya sendiri kerana banyak peniaga telah membuat aduan kepada saya, dan ada yang telah menunggu melebihi dua tahun,” ujarnya.

Kegagalan tersebut kata beliau telah menyebabkan peniaga rugi dari segi cost of capital akibat daripada kekurangan cashflow.

“Ramai yang terpaksa menaikkan harga barangan kerana perkara ini, dan ada juga yang terpaksa tutup kedai.

“Pada masa yang sama, kerajaan lama telah menipu wang rakyat dan menerima “free financing” kerana RM19.4 billion tersebut adalah wang modal yang tidak perlu dibayar faedah.

“Saya juga menyeru kepada pihak polis, SPRM, dan Jabatan Peguam Negara untuk menjalakan penyiasatan secepat mungkin dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya lagi. – Roketkini.com