Berita

Aktivis, bekas graduan UPM pilihan DAP tanding PRK Balakong

DAP hari ini mengumumkan Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Wong Siew Ki sebagai calon untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Balakong.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung Lim Guan Eng di Ibu Pejabat parti sebentar tadi.

Menurut Guan Eng, Siew Ki merupakan calon yang berpengalaman dan dilihat mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Selain Ahli Majlis, wanita berusia 32 tahun itu juga memegang beberapa jawatan penting di peringkat bahagian dan negeri iaitu Penolong Setiausaha Publisiti  DAPSY Selangor, Ketua DAPSY Serdang, Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang dan Penolong Setiausaha Wanita DAP Selangor.

Beliau juga berpengalaman sebagai Setiausaha Politik kepada ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah selepas PRU13 sebelum menyertai DAP pada tahun 2014.

Wong Siew Ki merupakan graduan Universiti Putra Malaysia dalam Pengajian Kesusasteraan Cina dan pernah bergiat aktif dalam komuniti Dapur Jalanan Kuala Lumpur dan Kelab Bangsar Utama.

Selain itu, Siew Ki juga telah menghasilkan beberapa dokumentari berkisar sosio politik iaitu Jatuh, Warisan (2014). Hijrah (2015) dan Hasut (2016).

Ketika ditemui, beliau menzahirkan rasa bangga dan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana telah memberikan peluang sebagai calon untuk meneruskan kecemerlangan kepimpinan mendiang Eddie Ng di Balakong.

“Saya rasa sangat bangga bukan sahaja dipilih oleh pemimpin parti tetapi juga dilihat sebagai calon yang boleh menang di Balakong, begitu juga kepercayaan daripada ahli-ahli parti dan pengundi kepada saya.

Sudah empat tahun lebih bersama parti. Saya akan meneruskan legasi kepimpinan mendiang YB Eddy, Ada banyak usaha yang dimulakan oleh beliau belum disiapkan.

“Tiba masanya Balakong, bukan saja perlu seorang Adun yang turun padang tapi juga boleh selesaikan lebih banyak perkara penting tambahan lagi Pakatan Harapan sudah menjadi Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Ditanya mengenai pencabarnya daripada MCA, Siew Ki menjawab, “Saya tak takut lawan MCA, kalau takut saya takkan keluar.”

Beliau menegaskan, kemenangan DAP di Balakong amat penting untuk menyempurnakan agenda pembaharuan  khususnya meningkatkan kualiti hidup rakyat ke kawasan itu.

Tegasnya, hanya melalui kualiti hidup yang baik mampu membolehkan rakyat untuk terus maju kehadapan dan fokus kepada perkara yang lain.

“Hanya melalui kualiti kehidupan yang baik barulah rakyat boleh fokus kepada perkara yang lebih besar. Jika kualiti kehidupan tak bagus, macam mana kita nak minta rakyat lebih cinta kepada negara, hentikan korupsi dan sebagainya? Ini kerana rakyat terpaksa memikirkan perkara-perkara asas yang mereka tiada.

Justeru, mandat rakyat kepada DAP pada PRK Balakong yang dijadualkan bulan hadapan ini adalah mustahak.

“Paling awal saya akan akukuan ialah cuba sedaya upaya memahami semua isu penting di Balakong dan akan bekerjasama dengan pasukan kita, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

“Kita akan selesaikan mana-mana yang boleh kita selesaikan terlebih dahulu,” katanya lagi.

Turut hadir dalam sidang media sebentar tadi ialah Pengerusi Kebangsaan Tan Kok Wai, Pengerusi Selangor Tony Pua Kiam Wee, Penolong Setiausaha Selangor Dr Ong Kian Ming dan beberapa lagi pimpinan DAP negeri.  – Roketkini.com